BREAKING NEWS

Tuesday, 24 October 2017

Pulau Pinang bebas guna pakai garis panduan sendiri - Noh Omar

 Kerajaan pusat tidak boleh mengambil tindakan terhadap kerajaan Pulau Pinang kerana tidak mengguna pakai garis panduan perancangan bukit dan tanah tinggi dikeluarkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pembangunan kawasan tanah tinggi.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, KPKT hanya bertanggungjawab mengeluarkan garis panduan, tetapi tiada kuasa untuk memaksa kerajaan negeri mematuhinya atau mengambil tindakan terhadap kerajaan negeri yang ingkar.
“Memang kita, KPKT melalui Plan Malaysia mengeluarkan garis panduan perancangan bukit dan tanah tinggi, kita sudah beri penerangan dan edar ke seluruh negera.

“Namun, Pulau Pinang tidak terima pakai kami punya garis panduan kerana mereka ada ‘Safety Guideline Hillsite Development’. Mengikut kerajaan negeri, mereka punya lebih lengkap dan terperinci,”

“KPKT kita ini hanya buat garis panduan, tetapi kuasa penuh pada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri. Kita tidak boleh nak paksa kerana itu kuasa mereka,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.

Noh berkata, hanya 3 negeri iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor tidak mengguna pakai garis panduan KPKT dan tidak salah mereka berbuat demikian.
“Mungkin tanah tinggi dia (Pulau Pinang) tidak sama dengan negeri lain kerana itu mereka sediakan garis panduan sendiri.

“Kita tengok garis panduan mereka lebih terperinci daripada kita punya garis panduan. Mereka ada pembangunan topografi dan geografi pulau, jadi sedikit berbeza. Ini tidak menyalahi undang-undang dan mereka ada hak mereka.”

Beliau berkata demikian susulan tragedi tanah runtuh di tapak projek pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Sabtu lalu.
Seramai 11 mangsa terkorban iaitu seorang rakyat Malaysia, 3 warga Myanmar, 4 warga Bangladesh, 2 warga Indonesia serta seorang rakyat Pakistan.

Dalam kejadian 8.57 pagi kelmarin itu, semua 11 mangsa sedang bekerja di bahagian bawah bangunan yang dalam pembinaan, apabila lereng bukit itu runtuh.
Noh berkata, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang dalam mesyuarat sebelum ini sudah menolak cadangan pembangunan di lokasi kejadian.

“Apa yang berlaku bagi pihak Plan Malaysia Pulau Pinang, kita tidak sokong pembangunan itu.
“Namun demikian, mungkin kerajaan negeri dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri yang dipengerusikan ketua menteri ada keputusan mereka sendiri.”
Noh berkata, kerajaan Pulau Pinang sudah diarah memberi penjelasan terperinci berhubung tragedi itu dalam mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 Oktober ini.

“Majlis ini ahlinya terdiri daripada menteri besar dan ketua menteri, dan secara kebetulan mesyuarat ini akan diadakan pada minggu depan.”

 
Copyright © 2014 PenangKini.