BREAKING NEWS

Tuesday, 10 October 2017

Raja-raja Melayu kecam ‘tindakan keterlaluan’ atas nama Islam

PETALING JAYA: Majlis Raja-raja Melayu hari ini mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” termasuk kontroversi dobi “mesra Muslim” di Johor dan seumpamanya di Perlis sebagai “tindakan yang bersifat keterlaluan”.

Raja-raja Melayu berkata tindakan itu boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum, dan membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

“Imej Islam sebagai agama yang mengalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterluan dan memisahkan rakyat,” kata raja-raja Melayu dalam kenyataan hari ini.

Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zamihan Mat Zin dilaporkan mengkritik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana mengarahkan seorang pengusaha dobi di Muar, Johor menghentikan dasar pelanggan Islam sahaja, bulan lepas.

“Kita ini negara Islam, pemimpin Islam, raja Islam, sultan Islam. Semua sumpah, wallahi, wabillahi… nak buat dobi ‘for Muslims only’ pun tak boleh, kita kata jumud, kita kata Taliban,” kata Zamihan dalam kuliah agama di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam pada Ahad.
Dalam video yang terdedah kepada orang awam, Zamihan dirakamkan sebagai berkata orang Cina tidak membasuh diri selepas membuang air.


“Bagaimana tentang darah-darah haid mereka pada pakaian dalam mereka? Ada peluk anjing, ada dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi, kena pada pakaian.
“Itu semua sinonim dengan mereka,” katanya.

Dasar “Islam sahaja” itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial dan mengundang teguran dari Sultan Ibrahim yang mengingatkan Johor bukan negeri Taliban.
“Saya tidak boleh menerima perkara karut ini. Ini Johor, ia milik Bangsa Johor dan milik semua kaum dan agama. Ini sebuah negeri progresif, moden dan sederhana,” kata Sultan Ibrahim dalam laporan The Star 27 September lalu.

“Ini bukan negeri Taliban dan sebagai ketua agama Islam di Johor, tindakan ini tidak boleh diterima langsung kerana bersifat ekstremis,” katanya lagi.
Majlis Raja-raja menghargai pendirian tegas Sultan Johor, dan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizudin Putra Jamalullail dalam kes yang berlaku di Kangar.

“Pendirian baginda berdua mencerminkan keprihatinan tentang pentingnya umat Islam mengamalkan sikap toleran, sederhana dan inklusif di dalam negara yang warganya terdiri daripada masyarakat berbilang agama – berbilang kaum.”

Raja-raja Melayu “memandang berat” isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat, dan berkata rakyat wajib memahami prinsip utama yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia, yang digubal berasaskan persefahaman bahawa negara ini adalah “negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama dan kaum,” dan prinsip itu mesti dihormati.
 
Copyright © 2014 PenangKini.