BREAKING NEWS

Friday, 6 October 2017

SAM gesa Pusat tidak lulus projek tambak laut di Queensbay

PULAU PINANG 5 Okt. – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Pusat bertegas tidak meluluskan lebih banyak projek tambak laut di negeri ini termasuk yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang di Permatang Damar Laut seluas kira-kira 1,800 hektar di sini.

Pegawai Luar Bandar SAM, Zulkifli Yusuf berkata, pihaknya bimbang dengan ancaman berterusan ke atas kehidupan lebih 4,000 nelayan pantai di negeri ini berikutan projek tambak laut yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini.


Beliau berkata, walaupun banyak bantahan dibuat pihaknya serta nelayan pantai terlibat, namun tiada jaminan kukuh Kerajaan DAP Pulau Pinang yang projek tersebut tidak mengancam alam sekitar dan kehidupan masyarakat nelayan.

“Kejadian terbaru yang menimpa nelayan pantai Batu Uban di sini yang mengalami kerosakan bot akibat kerja-kerja menambak membuktikan pihak bertanggungjawab tidak memberi perhatian sewajarnya bagi membela nasib dan kehidupan nelayan.

“Berikutan sikap acuh tidak acuh itu juga, kita menerima banyak aduan dan rungutan nelayan mengenai kemerosotan hasil tangkapan berpunca projek tambak laut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, nelayan kini berdepan pencemaran serius di kawasan mereka mencari rezeki selain zon tangkapan semakin sempit akibat ditambak.

Katanya, keadaan menyebabkan sumber perikanan semakin pupus selain hasil tangkapan nelayan merosot teruk sehingga mencecah 70 peratus setiap kali turun ke laut.

Selain itu, kata Zulkifli, sisa lumpur dari kawasan penambakan bukan sahaja mencemarkan air di pantai, malah pukat nelayan turut musnah akibat masalah tersebut.

“Antara kawasan terjejas akibat pelaksanaan projek tambak laut ini ialah di Tanjong Tokong, Sungai Gelugor, Batu Uban, Persiaran Gurney dan Queensbay.

“Ancaman lebih buruk mungkin berlaku ke atas persekitaran pesisiran pantai, marin dan kehidupan nelayan di negeri ini jika kerajaan negeri meneruskan rancangan projek tambak laut di Permatang Damar Laut,” katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.