BREAKING NEWS

Wednesday, 25 October 2017

Selangor & Pulau Pinang Paling Banyak Judi Haram


KUALA LUMPUR 24 Okt. - Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan jumlah pusat perjudian haram terbanyak selepas operasi besar-besaran dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga semalam, sebanyak 5,913 operasi dilakukan oleh PDRM di seluruh negara dan kedua-dua negeri terbabit paling banyak terlibat.


“Jumlah itu dicapai sejak Ke­tua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menerajui PDRM yang benar-benar giat melaksa­nakan operasi membanteras perjudian haram di seluruh negara.

“Kita tidak tahu mengapa ke­dua-dua negeri tersebut mencatatkan jumlah tertinggi tetapi dalam operasi itu juga ada negeri yang bersih daripada perjudian seperti Perlis,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akbar selepas sesi Dialog Transformasi Nasional 20150 (TN50) Kluster Keselamatan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Naib Canselor UPM, Profesor Datin Dr. Aini Ideris dan 2,000 pegawai kerajaan serta pelajar institusi pengajian tinggi.

Ditanya mengenai penglibatan sembilan dragon yang mengawal aktiviti perjudian di negara ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, di belakang tauke judi terdapat mereka yang terlibat dengan kongsi gelap yang mana pusat judi adalah salah satu cabang yang membia­yai sindiket tersebut.

Menurutnya, bukan sahaja judi, kumpulan itu juga turut menjalankan jenayah lain seperti penyeludupan manusia, pengedaran dadah dan pelbagai lagi aktiviti jenayah yang menimbulkan kekacauan.

Tambahnya, disebabkan itulah, ketika ini tumpuan diberikan untuk membanteras pusat perjudian haram oleh PDRM kerana ia adalah salah satu daripada jenayah yang berkait antara satu sama lain.

“Ketegasan Mohamad Fuzi dalam isu ini disokong oleh kementerian agar jenayah terancang seperti ini dapat dihapuskan daripada terus merosakkan masyarakat dan tumbuhnya jenayah lain di negara ini,” katanya.



 
Copyright © 2014 PenangKini.