BREAKING NEWS

Thursday, 19 October 2017

Subsidi minyak tidak bantu golongan miskin, kata ahli ekonomi



PETALING JAYA: Ahli ekonomi berkata idea Pakatan Harapan memperkenalkan semula subsidi petrol sekiranya gabungan pembangkang itu menang pilihan raya umum tidak akan membantu golongan miskin.
Mereka mengulas kenyataan Ketua Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR Wong Chen dalam perbincangan langsung di Facebook tentang belanjawan akan datang anjuran iMoney.my hari ini. Wong berkata negara pengeluar minyak yang tidak mensubsidikan minyak untuk golongan miskin adalah tidak bermoral.
“Kita sedang melihat beberapa cara bagaimana subsidi minyak benar-benar boleh memberi manfaat kepada golongan miskin,” kata Wong Chen. “Kami sedar kami ada tanggungjawab moral untuk mensubsidikan golongan termiskin.”
Ahli ekonomi terkemuka Jomo Kwame Sundaram dan Ketua Ekonomi DM Analytics Muhammed Abdul Khalid bagaimanapun berkata subsidi harga petrol bukan idea yang bagus kerana ia tidak membantu golongan miskin.
“Dalam krisis sekarang ini, tiada ada hujah untuk mengembalikan semula subsidi minyak kecuali apabila harganya sekitar 200 dolar setong,” kata Jomo. “Kita semua tahu sebahagian besar minyak dinikmati golongan kelas pertengahan.”
Muhammed bersetuju dengan Jomo, dan berkata: “Apabila kamu bercakap mengenai golongan miskin, mereka yang menaiki basikal atau bas. Subsidi minyak membantu mereka yang memandu BMW.”

Muhammed menyifatkan subsidi minyak sebagai regresif, dan berkata ia hanya memberi manfaat kepada mereka yang mampu memandu kereta peribadi.
“Kita tidak boleh kembali ke sistem itu kecuali harga minyak terlalu tinggi. Kalau kamu mahu membantu golongan miskin maka bukan itu caranya.”
Jomo berkata cara lebih berkesan untuk membantu golongan miskin ialah menumpukan kepada menjadikan pengangkutan awam lebih menarik.
“Sekarang ini tidak menarik. Ada keputusan strategik pada 1980-an untuk mempromosikan kereta kebangsaan dan ini menyebabkan sektor pengangkutan awam menderita,” katanya. “Perkara itu dibetulkan dalam tempoh kebelakangan ini namun tidak mencukupi.”
“Jika subsidi diperlukan maka ia perlu disalurkan ke pengangkutan awam.”
Beliau berkata antara masalah yang dialami pengangkutan awam termasuk isu keselamatan dari segi operasi dan penumpang.
“Ada operasi yang sangat tidak selamat untuk penumpang dan wanita terutamanya sangat khuatir akan isu keselamatan.
“Hala tuju haruslah membetulkan pengabaikan pengangkutan awam.”

 
Copyright © 2014 PenangKini.