BREAKING NEWS

Tuesday, 24 October 2017

Tanah Runtuh : Kit Siang Dicabar Desak Anak Letak Jawatan – Noh Omar

Tan Sri Noh Omar hari ini mencabar Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendesak anaknya, Lim Guan Eng selaku ketua menteri Pulau Pinang meletak jawatan susulan tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah, Sabtu lalu.
Ia susulan gesaan veteran DAP itu supaya menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu meletak jawatan susulan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, pada 14 September lalu yang mengorbankan 21 pelajar dan 2 gurunya.
“Kita tidak macam pembangkang politikkan isu. Dulu sekolah tahfiz terbakar, Kit Siang keluar kenyataan menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) kena letak jawatan sebab rumah terbakar.
“Jangan nak cari salah orang…ini bukan isu politik, apa sahaja pembangkang dia cari peluang.

“Sekarang, saya nak Lim Kit Siang suruh anak dia letak jawatan pula,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat, hari ini.
Sabtu lalu, 11 pekerja maut akibat tertimbus dalam tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Pada 15 September lalu, Kit Siang melalui blognya menuding jari kepada Noh dan mencabar pengerusi Umno Selangor itu meletak jawatan sebagai menteri kerana gagal memastikan “kesejahteraan bandar”.
 
Copyright © 2014 PenangKini.