BREAKING NEWS

Wednesday, 25 October 2017

Tanah Runtuh Tanjung Bungah : SPRM serbu Jabatan Perancangan Pembangunan MBPP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyerbu Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), susulan kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah, Sabtu lalu.

China Press melaporkan SPRM menyerbu pejabat Jabatan Perancangan Pembangunan yang terletak di tingkat 16 Komtar sebelum tengah hari Isnin lalu.
Namun, tidak diketahui berapa ramai pegawai terbabit dalam serbuan berkenaan.

Akhbar itu melaporkan pemangku ketua jabatan, Roslan Ramly disoal siasat SPRM di pejabatnya dan dokumen berkaitan dirampas bagi membantu siasatan.
Laman web rasmi MBPP menunjukkan terdapat 5 unit di bawah Jabatan Perancangan Pembangunan dan salah satunya ialah pusat sehenti (OSC).

Dalam kejadian 8.57 pagi Sabtu lalu, 11 pekerja maut akibat tertimbus dalam tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Ketika kejadian, mangsa sedang bekerja di bahagian bawah bangunan yang dalam pembinaan itu. Tiga daripada ialah warga Myanmar, 4 rakyat Bangladesh, 2 warga Indonesia dan masing-masing seorang rakyat Pakistan dan Malaysia.

Isnin lalu, Datuk bandar MBPP, Datuk Maimunah Mohd Sharif dilaporkan berkata, OSC pihak berkuasa tempatan itu memberi kelulusan kepada projek perumahan mampu milik setinggi 49 tingkat di Tanjung Bungah.

Katanya, OSC ialah badan pembuat keputusan untuk kelulusan perancangan dalam MBPP.
Sebuah pelan bangunan yang diserahkan pada April 2015, diluluskan bulan berikutnya. Kebenaran memulakan kerja pembinaan diberikan pada 18 Januari 2016.
Kawasan itu dikategorikan zon perumahan di bawah Pelan Dasar Perancangan dan Kawalan Pemajuan
 
Copyright © 2014 PenangKini.