BREAKING NEWS

Thursday, 5 October 2017

Tiada ujian perbandingan DNA ke atas Jong Nam


Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu mayat mendiang “Kim Chol” atau Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dituntut oleh wakil Kedutaan Korea pada 30 Mac lepas.

Ketua Bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Shah Mahmood, 57, berkata, mayat tidak boleh dikeluarkan daripada bilik mayat sehingga keputusan sebab-sebab kematian dikenal pasti.

Ketika disoal balas oleh peguam Datuk Naran Singh, saksi ke-6 itu berkata beliau tidak dapat mengingati nama wakil kedutaan itu kerana butiran itu tidak ada bersamanya hari ini.

“Tetapi saya mencatatkan nama wakil kedutaan itu di dalam borang untuk mengeluarkan mayat itu,” katanya pada perbicaraan kes warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama 4 yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9.00 pagi, 13 Februari lalu.
Dr Mohd Shah juga berkata beliau tidak boleh membuat perbandingan DNA terhadap mayat Kim Chol kerana beliau hanya mempunyai sampel darah Kim Chol sahaja.

Datuk Naran: “Betulkah DNA mayat Kim Chol dibandingkan dengan anaknya untuk sahkan mayat itu adalah Kim Chol?”
Dr Mohd Shah: “Tidak betul. Ujian perbandingan itu tidak dapat dijalankan kerana saya ada satu set DNA sahaja iaitu daripada si mati seorang.”
Datuk Naran: “Hanya daripada si mati sahaja, keluarga tidak ada?”
Dr Mohd Shah: “Ya.”


Saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam itu dengan ketiadaan DNA waris si mati, beliau tidak dapat memastikan 100% mayat itu adalah Kim Chol, tetapi berdasarkan salinan pasport yang diberikan oleh polis menunjukkan si mati adalah Kim Chol.

Dr Mohd Shah juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa pihaknya tidak melakukan bedah siasat ke atas mayat si mati dengan segera kerana terdapat tekanan daripada beberapa pihak.
Beliau berkata kali pertama dia melihat mayat Kim Chol adalah di Hospital Putrajaya pada pagi 14 Feb 2017 manakala bedah siasat dilakukan pada 12.45 tengah hari 15 Februari 2017 di HKL kerana terdapat bantahan daripada kedutaan Korea.

“Wakil Kedutaan Korea membuat bantahan. Bantahan dibuat terhadap polis dan pada wakil Kementerian Luar,” katanya yang tidak menyatakan secara spesifik sama ada Korea Utara atau Selatan.

Ditanya beberapa kali oleh Naran sama ada si mati meninggal dunia akibat serangan jantung, Dr Mohd Shah masih mengekalkan dapatannya bahawa mangsa mati akibat racun VX kerana hasil pemeriksaan ke atas jantungnya mendapati tiada tanda-tanda baru atau lama kesan serangan jantung.
Kepada soalan peguam Gooi Soon Seng, Dr Mohd Shah berkata beliau tidak dapat memastikan sama ada si mati diracun sebelum tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2).
Bagaimanapun, beliau bersetuju ada kemungkinan racun VX itu masuk ke dalam badan si mati melalui suntikan jarum dan sukar untuk mengesan suntikan jarum itu berikutan badan mangsa dipenuhi tatu.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam itu cecair VX itu tidak mempunyai bau dan rasa.
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, saksi menegaskan penyebab utama kematian si mati ialah agen saraf VX.

“Dalam kes ini sebab kematian adalah keracunan VX berdasarkan hasil bedah siasat dan pengesahan jenis agen saraf VX yang dibuat oleh Jabatan Kimia Malaysia,” katanya.
Beliau juga menerangkan agen saraf VX hanya mempunyai satu kegunaan iaitu sebagai senjata kimia dalam senarai Konvensyen Senjata Kimia 1997.

Katanya beliau tidak membuat ujian kuantitatif untuk mengetahui jumlah dos VX yang boleh menyebabkan kematian, sebaliknya hanya memadai mengetahui kewujudan racun berkenaan.
“Dalam mengendalikan kes-kes keracunan, jumlah dos racun adalah penting tetapi kalau kes melibatkan VX, ujian kualitatif sudah memadai kerana VX agen saraf yang tidak dapat diperoleh secara semula jadi,” katanya.Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

 
Copyright © 2014 PenangKini.