BREAKING NEWS

Tuesday, 10 October 2017

Timbalan menteri kesihatan nafi bantu doktor gigi palsu

GEORGE TOWN: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menafikan kementerian itu memberi sokongan dan bantuan kepada individu yang menjalankan perkhidmatan perniagaan pendakap gigi palsu secara haram, seperti didakwa individu itu baru ini.

Beliau berkata pihaknya dan mana-mana anggota pentadbiran dalam kementerian berkenaan tidak pernah menyokong atau berkompromi dengan individu yang jelas melanggar peraturan negara malah memberi kesan buruk kepada pelanggan.

“Amalan pergigian secara haram satu kesalahan di negara kita dan wanita itu juga telah dijatuhkan hukuman di mahkamah malah saya tidak kenal wanita itu secara peribadi dan tidak mempunyai wang yang banyak untuk membantu membayar dendanya seperti didakwa.

“Tapi saya akui sebelum ini ada wakil daripada wanita itu datang untuk memohon bantuan saya, tetapi saya tidak mencampuri urusannya kerana kes itu telah dibawa ke mahkamah malah kesalahannya itu memang tidak boleh dikompromi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Psikologi Kaunseling peringkat Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan seorang doktor gigi palsu dijatuhi hukuman denda RM70,000 atau penjara 6 bulan jika gagal membayar denda itu oleh mahkamah pada 29 Sept lalu kononnya perniagaannya mendapat sokongan Kementerian Kesihatan.


Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, turut memuat naik ucapan penghargaan kepada Dr Hilmi dan pihak kementerian, sebaik dia dibebaskan, dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Penggiat Ekonomi Malaysia (PPEM) melalui kutipan derma orang ramai.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata sejak 2015 hingga Jun tahun ini, sebanyak 68 aduan rasmi diterima pihaknya berhubung pengamal pergigian haram dengan 41 kes membabitkan pendakap gigi palsu.
Beliau berkata dalam tempoh itu, sebanyak 15 kes dijatuhkan hukuman oleh mahkamah di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 5 kes mengakibatkan tertuduh dipenjarakan kerana gagal membayar denda.

“Menerusi seksyen itu, seseorang yang disabit bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya. Memang ia memperuntukkan hukuman berat dan kami juga mengambil tindakan undang-undang tegas kerana memberi kesan buruk kepada kesihatan pengguna akibat amalan perkhidmatan pergigian haram itu,” katanya.
Sementara itu, Dr Hilmi berkata sebanyak 76,061 pesakit psikiatri menerima rawatan di klinik psikiatri di hospital, jabatan pesakit luar dan bahagian kecemasan hospital kerajaan manakala 29.3% daripada rakyat Malaysia menghadapi masalah kesihatan mental tahun lepas.

“Ketika ini terdapat 1,762 pegawai psikologi bagi kaunseling dan umum serta 243 pegawai psikologi klinikal manakala bilangan pakar psikiatri ialah 207 di hospital kerajaan dan 115 di hospital swasta. Kementerian dalam usaha menambah jumlah mereka supaya dapat memberi perkhidmatan serta rawatan kepada pesakit yang semakin meningkat,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.