BREAKING NEWS

Friday, 6 October 2017

Tindakan roboh kuarters masjid di Subang zalim, kata menteri

Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menempelak tindakan Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) yang merobohkan beberapa rumah dan kedai di perkarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (LTSAA) di Subang, Selangor semalam.
Tan Sri Noh Omar turut menyalahkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak menggunakan kuasanya untuk menangguhkan perobohan tersebut.

“Itu tindakan zalim. Janganlah runtuh. Kita ada cara selesaikan masalah.
“Macam saya juga bila siasat sekolah tahfiz tak lengkap, kalau ikut undang-undang kita boleh tutup. Tetapi tidak, kita boleh bincang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah ke-20 di Hotel Sunway Resort & Spa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perobohan 3 rumah dan 2 kedai di perkarangan masjid LTSAA di Subang, Selangor.

Rumah dan kedai tersebut sebelum ini didiami bekas ahli jawatankuasa masjid LTSAA dan tindakan merobohkannya dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.Semasa proses perobohan, 9 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan selepas mengadakan protes terhadap perobohan tersebut.


Noh berkata tindakan Azmin menempatkan 2 keluarga yang terlibat dalam perobohan itu ke Pusat Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Damansara juga salah.
Katanya, Azmin sepatutnya menyelesaikan isu penempatan mereka dahulu sebelum melakukan perobohan.“Saya dah rayu beri peluang paling lama pun sebulan.. Kalau tidak ada rumah kita boleh tawar rumah PPR di Subang 2.“Kita dah buat rayuan. Tiba-tiba dah roboh. Ini tindakan tak patut. Orang tawar dulu (rumah) baru roboh.

“Rumah itu dia nak tutup, tetapi nak buat foya-foya boleh pula,” katanya yang merujuk kepada tindakan Azmin yang tidak menghalang penganjuran acara yang dikatakan memenuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, termasuklah festival melibatkan pengambilan arak.
Semalam dalam satu kenyataan, kerajaan Selangor berkata pihaknya akan menempatkan 2 keluarga yang terlibat dalam perobohan tersebut ke Pusat Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Damansara.
Azmin berkata keputusan itu dibuat susulan perbincangan kerajaan negeri dengan syarikat Perumahan & Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).

Pada Mac lalu dilaporkan 2 bekas ahli jawatankuasa masjid itu pernah menghantar memorandum kepada Azmin untuk menggesa beliau tidak membenarkan MAHB selaku syarikat swasta menggunakan pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Petaling bagi tujuan perobohan.
Ketika itu, turut dilaporkan kedua-dua mereka yang menjadi ahli jawatankuasa masjid lebih 2 dekad diarahkan untuk mengosongkan kediaman mereka tanpa pampasan yang wajar daripada MAHB.
 
Copyright © 2014 PenangKini.