BREAKING NEWS

Monday, 13 November 2017

ADUN kerajaan DAP patut sokong usul ADUN BN


GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di blok kerajaan DAP Pulau Pinang digesa menyokong usul menghentikan semua pembangunan di lereng bukit di negeri ini, yang akan dibentang oleh Barisan Nasional (BN).
Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN negeri, Jason Loo, berkata ia bagi memberi laluan kepada suruhanjaya siasatan negeri melakukan pemeriksaan yang menyeluruh, bagi mencari kaedah memulihara alam sekitar.
"Usul ini melangkaui perbezaan politik kerana ia memberi kesan secara langsung kepada rakyat di negeri ini yang sering berhadapan situasi mencemaskan berkaitan banjir kilat atau tanah runtuh, setiap kali hujan lebat.
"Ada kepentingan mendesak supaya semua ADUN di blok kerajaan menyokong usul yang akan dibawa oleh Datuk Dr Muhammad Farid Saad (ADUN Pulau Betong daripada BN)," katanya pada sidang media di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Hampir keseluruhan Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 hingga 1.5 meter, awal bulan ini.
Susulan itu, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak 119 kejadian banjir kilat direkodkan berlaku di negeri ini, sejak tahun 2013 hingga 15 Oktober lalu, dengan masing-masing sebanyak 22 kali pada 2013; 20 (2014); 26 (2015); 30 (2016) dan 21 kes sama direkodkan sehingga 15 Oktober lalu.
Pada 21 Oktober lalu, seramai 11 pekerja binaan maut selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, kira-kira jam 9 pagi.
Ditanya kemungkinan ADUN kerajaan negeri membantah atau berkecuali bagi usul berkenaan, Loo berkata, semua wakil rakyat yang berbuat demikian digesa mengemukakan hujah munasabah atas tindakan mereka.
"Tindakan mereka membantah atau berkecuali bagi usul berkenaan akan terus meletakkan nasib rakyat di negeri ini dalam keadaan bahaya, apabila tiada penyelesaian menyeluruh dirangka kerajaan negeri," katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.