BREAKING NEWS

Friday, 10 November 2017

Akhirnya Tun M akui masih terima kemudahan diberi kerajaan BN


PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui masih menikmati beberapa kemudahan yang disediakan kerajaan untuk bekas perdana menteri selepas beliau berundur daripada jawatan itu, 14 tahun lepas.
Menurutnya, kemudahan seperti pembantu rumah dan kakitangan di Yayasan Kepimpinan Perdana dikekalkan cuma mereka dihantar menggantikan pekerja lama dengan khidmat mereka masih dibayar kerajaan.
Mengulas kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini bahawa kerajaan tidak pernah menarik apa-apa kemudahan yang disediakan kepada mana-mana bekas perdana menteri, Dr Mahathir berkata beliau sedia menyenaraikan perjawatan yang ditarik balik termasuk yang tiada kaitan dengan kerajaan dan mendakwa pihak yang menawarkan perjawatan itu kepadanya dipaksa menarik jawatan yang diberikan.
Menurut JPM, sebanyak 21 perjawatan diperuntukkan kepada Dr Mahathir, dengan kesemua perjawatan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan meliputi pembayaran gaji, elaun tuntutan dan lain-lain kemudahan yang layak dinikmati sebagai penjawat awam.
Dr Mahathir, yang ditemui pemberita selepas sesi dialog kepimpinan dalam era digital di masa depan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, dalam pada itu, bertegas untuk tidak memohon maaf berhubung kenyataannya berkaitan Bugis termasuk terhadap desakan yang dibuat Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mendakwa beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang merujuk kepada etnik tersebut mahupun pihak Jusuf.
Mengenai tindakan polis membuka dua kertas siasatan terhadap beliau berhubung kenyataannya itu, Dr Mahathir berkata polis hanya menjalankan tugas mereka dan sedia disiasat jika dipanggil.
Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Okt 2003. – BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.