BREAKING NEWS

Friday, 24 November 2017

Arab Saudi larang jemaah selfie di Masjidil Haram, Masjid Nabawi

KERAJAAN Arab Saudi melarang jemaah haji dan umrah bergambar termasuk mengambil selfie atau swafoto di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi demi memelihara kesucian dua masjid suci di Mekah dan Madinah itu dan menghormati jemaah lain yang beribadat.

Larangan itu dikeluarkan dalam pekeliling Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, dan diedarkan kepada semua negara melalui nota diplomatik bertarikh 12 November 2017.

"Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan larangan pengambilan gambar di dalam dua masjid suci dan serambinya dengan menggunakan (apa juga jenis kamera)," kata kenyataan itu, yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Jemaah yang melanggar larangan itu berdepan tindakan dirampas kamera mereka, jika perlu, tambah kenyataan itu.


Surat edaran yang dilihat oleh The Malaysian Insight adalah terjemahan ke dalam bahasa Indonesia dan dikeluarkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Muhammad Saleh Benten. Larangan yang sama juga dilaporkan oleh beberapa media di Indonesia hari ini.

Pekeliling itu dikeluarkan bagi membolehkan pengendali haji dan umrah di seluruh dunia memaklumkan larangan tersebut kepada jemaah masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir yang dihubungi The Malaysian Insight memberitahu beliau tidak mendapat sebarang maklumat mengenai larangan tersebut.

"Saya perlu periksa semula dengan pegawai saya," katanya.

Bagaimanapun Jamil bersetuju dengan arahan itu bagi menjaga keselesaan jemaah lain yang beribadat selain soal keselamatan tanah suci.

"Memang ambil gambar dalam masjid beri gangguan orang nak beribadat sebab ketika ada yang sedang tawaf, ada pula yang sedang selfie.

"Ini bukan soal keselamatan sahaja, tetapi masalah mengganggu jemaah lain hendak solat," katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, agensi pengendali haji dan umrah di Malaysia yang dihubungi juga memberitahu belum ada sebarang maklumat mengenai larangan tersebut.

"Saya tidak ada maklumat. Sekiranya betul kita kena patuh semua arahan yang diberi kerana kita hendak menunaikan ibadat di sana jadi kena ikut peraturan ditetapkan," kata Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Md Daud Che Ngah.

"Sekiranya dapat arahan daripada kerajaan, kita akan ikut dan terangkan pada jemaah."

Arab Saudi mengeluarkan larangan bergambar dalam dua masjid suci itu selepas ada jemaah yang menaikkan bendera negara mereka dan bergambar di koridor Masjidil Haram di Mekah, dengan alasan untuk kenang-kenangan dan tidak tahu ada larangan daripada berbuat demikian. – 23 November, 2017.
 
Copyright © 2014 PenangKini.