BREAKING NEWS

Friday, 3 November 2017

Bajet 2018 Negeri Pulau Pinang Penuh ‘Propa’ Dan Manipulasi


PERMATANG PAUH, 3 Nov – Menyedari momentum Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semakin meningkat malah pembentangan Bajet 2018 memuaskan hati ramai pihak, pembangkang mula semakin terhimpit bagi mencari formula baru ‘membeli’ jiwa rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Ini jelas dapat dilihat apabila Bajet 2018 negeri Pulau Pinang penuh dengan ‘propa’ dan manipulasi.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Zaidi Mohd Said, banyak perkara yang dibentangkan dalam bajet negeri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang boleh dipertikaikan.
“Antara yang boleh dipersoalkan adalah mengapa peruntukan kepada pejabat ketua menteri terlalu banyak. Di manakah wang tersebut dibelanjakan?
“Selain itu, saya harap ketua menteri dapat menerangkan mengapa bajet 2018 ini digunakan untuk membayar bonus tahun ini kerana pembayaran bonus tahun ini sepatutnya menggunakan bajet tahun 2017…. saya lihat ada ketidaktelusan di sini.
“Kita menyokong pemberian bonus ini, lebih kerap lebih baik, namun ia perlu dilakukan secara telus bukan semata-mata kerana PRU makin dekat maka peruntukan 2018 digunakan untuk pembayaran bonus 2017.
“Guan Eng cuba mengaburi mata rakyat dengan pembayaran bonus sebanyak RM2,000… ini ibarat satu umpan. Janganlah mereka menganggap wang sebanyak itu boleh mengaburi mata rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Seperkara lagi, menurut Zaidi, bajet negeri Pulau Pinang juga ada menyebut tentang pengecualian untuk lesen penjaja dan adakah kerajaan negeri mampu memberi jaminan tiada lagi premis perniagaan yang diroboh atau dirampas setelah pengecualian ini diberikan.
“Umum mengetahui peniaga-peniaga kecil sering berhadapan dilema apabila barangan mereka dirampas oleh penguatkuasa tanpa ada belas kasihan. Jadi, sekiranya selepas ini perkara ini masih berlaku, adakah kerajaan negeri mampu untuk bertanggugjawab.
“Jangan hanya berani cakap tetapi bila timbul masalah, kerajaan negeri akan mengambil sikap lepas tangan atau memberi jawapan ini bukan di bawah bidang kuasa mereka,” bidas Zaidi.
Oleh itu, beliau berharap kerajaan negeri mampu memberi jawapan kepada persoalan tersebut memandangkan bajet ini dinamakan bajet marhaen maka rakyat perlu tahu adakah benar bajet ini memberi manfaat atau sekadar retorik menjelang pilihan raya.
“Ramai penjaja yang memohon lesen tetapi tidak diluluskan, saya harap mereka tidak dianiaya selepas pengecualian ini,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.