BREAKING NEWS

Thursday, 9 November 2017

#BanjirPulauPinang Kerajaan Negeri Perak sumbang RM100,000

KERAJAAN Perak meluluskan peruntukan RM100,000 untuk pembelian peralatan serta barangan bagi kegunaan pacsa banjir termasuk pembersihan di Pulau Pinang.

Menteri Besar Dr Zambry Abd Kadir berkata bantuan tersebut akan dihantar segera ke Pulau Pinang sebagai tanda prihatin kerajaan negeri Perak kepada rakyat negeri itu.

Katanya bantuan akan diselaras oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Rusnah Kassim.

"Janganlah jadikan ini sebagai isu politik kerana ia masalah kemanusiaan, negeri itu jiran kita dan masalah rakyat merentasi soal politik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri di Ipoh, hari ini.


Menjelas lanjut, Zambry berkata sumbangan bukan sahaja dalam bentuk peralatan menghadapi pasca banjir tetapi setiap kumpulan yang dibentuk akan turun membantu mangsa banjir.

Selain itu, Zambry berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi tabung khas bencana banjir di Perak sebagai persiapan dan keperluan menghadapi bencana alam tersebut.

“Kita tidak mahu orang menyifatkan hanya sibuk masalah di luar tetapi masalah sendiri tidak dipedulikan jadi tidak timbul masalah itu," katanya.

Zambry turut menasihati orang ramai terutama penduduk yang tinggal di kawasan berisiko seperti berdekatan sungai agar membuat persiapan awal bagi menghadapi kejadian banjir, termasuk kemungkinan banjir kilat.

Dalam perkembangan lain, Zambry menegaskan tindakan segera termasuk oleh polis perlu diambil bagi mengatasi kes kecurian kabel eletrik dan telekomunikasi di beberapa kawasan di Perak termasuk Manjung.

"Kabel ini adalah untuk kegunaan orang ramai dan bayangkan sikap tidak bertanggungjawab pihak tersebut pastinya akan memberi kesan kepada orang ramai," katanya. – Bernama, 8 November, 2017.
 
Copyright © 2014 PenangKini.