BREAKING NEWS

Wednesday, 15 November 2017

#BanjirPulauPinang KKLW sedang senaraikan kerosakan infrastruktur dan premis akibat banjir

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sedang menyenaraikan jumlah kerugian kerosakan infrastruktur dan premis milik kementerian itu akibat kejadian banjir yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah mengarahkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di setiap kawasan untuk membuat penilaian apa yang rosak sebelum menyerahkan kepada KKLW.


"Saya telah minta JKKKP untuk senaraikan infrastruktur dan premis milik KKLW yang rosak akibat banjir seperti jalan-jalan kampung, surau, dewan, balai raya serta bangunan milik kementerian untuk kami serah  kepada  Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sempena penyelarasan bantuan bencana pasca banjir di Pulau Pinang di Permatang  Rawa, di sini hari ini.

Beliau melawat lima tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kampung Padang, Kepala Batas; tabika Kemas Lahar Yooi dan Simpang Tiga di Tasek Gelugor; tabika Kemas Permatang Rawa serta Tabika Taman Abidin di Jelutong.

Pada lawatan itu, beliau turut mengagihkan 1,400 pek bantuan yang mengandungi makanan, barang-barang keperluan diri, tilam dan selimut kepada mangsa terlibat.

Ismail Sabri berkata sebanyak 41 tabika Kemas di Pulau Pinang mengalami kerosakan akibat banjir membabitkan kerugian RM165,000 dan kementerian sedang menjalankan kerja-kerja membaiki supaya kanak-kanak yang belajar di situ dapat meneruskan pembelajaran.

"Kerosakan itu tidaklah teruk dan petugas kami sedang menjalankan kerja pembaikan seperti mengecat, membaiki peralatan dan pendawaian eletrik serta membaiki perabut yang terdapat dalam tabika berkenaan.

"Semua tabika itu juga telah beroperasi dan hanya ditutup ketika banjir baru-baru ini sahaja, cuma banyak peralatan pembelajaran yang rosak jadi kami akan gantikan segera," katanya.

Sementara itu, beliau berkata 1,645 sukarelawan terdiri daripada lima agensi di bawah KKLW berada di Pulau Pinang hari ini bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir melanda negeri itu baru-baru ini.

Katanya menerusi bantuan itu, sukarelawan terlibat akan menjalankan aktiviti gotong-royong seperti membersih dan mengecat premis-premis bangunan yang terjejas berikutan kejadian itu.

"Seramai 1,645 sukarelawan daripada agensi di bawah KKLW iaitu Kemas, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Negara (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dihantar bagi membantu mangsa di 30 lokasi banjir di Pulau Pinang," katanya.

Selain itu, beliau berkata sukarelawan daripada pelatih GiatMara juga akan membantu membaiki semua peralatan elektrik termasuk motosikal secara percuma. - Bernama

 
Copyright © 2014 PenangKini.