BREAKING NEWS

Sunday, 5 November 2017

#BanjirPulauPinang Lumpuh selepas hujan lebat lebih 15 jam

GEORGE TOWN: Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di 5 daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak semalam.
Hujan lebat dan angin kencang sejak 2 petang dan berlarutan sehingga 5 pagi ini juga menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan dilanda tanah runtuh.

Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2m hingga 1m berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, seramai 1,968 mangsa banjir kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir yang dibuka di 4 daerah.

Beliau berkata, seramai 1,125 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Seberang Perai Tengah, 615 mangsa di Seberang Perai Utara (SPU), 70 mangsa di daerah Timur Laut dan 158 mangsa di pusat pemindahan banjir di daerah Barat Daya.

“Angkatan Tentera Malaysia sudah menghantar anggota mereka di daerah Timur Laut. Di kawasan Seberang Perai, kita masih menunggu anggota tentera dari Kem Sungai Petani dan kita amat perlukannya. Ada ramai mangsa yang hendak kita selamatkan.


“Keadaan sekarang lebih baik sikit kerana hujan telah reda. Sungguhpun begitu, air banjir belum surut dan kita lihat angin masih kuat. Kita bimbang tentang kejadian yang tidak diingini kerana angin kuat dan kita bimbang hujan akan kembali lagi,” katanya hari ini.

Lim berkata, kejadian angin kencang yang melanda negeri ini awal pagi ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.
“Angin yang begitu kuat tak pernah kita lihat bersama hujan lebat (dan ia) benar-benar melebihi keperluan kita. Kita tidak ada sumber yang cukup untuk menangani keperluan mangsa banjir. Terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua pasukan penyelamat yang datang membantu. Saya harap semua dapat terus jaga keselamatan diri dan keluarga.”

Tinjauan Bernama di kawasan Seberang Jaya, dekat sini, mendapati kawasan berkenaan paling teruk terjejas dengan beberapa bahagian Hospital Seberang Jaya (HSJ) dinaiki air, namun keadaan masih terkawal dan tiada pesakit dipindahkan.
Seramai 21 mangsa banjir daripada 6 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir sementara di Taman Siakap, Seberang Jaya selepas kawasan rumah mereka dinaiki air dengan begitu pantas kira-kira 7 malam.

Sementara itu, Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Ramzi Ahmad berkata, hujan lebat dan angin kuat itu turut menyebabkan 4 penerbangan yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang berkenaan terpaksa dilencongkan.
Katanya, 3 penerbangan dilencongkan ke Lapangan Terbang Subang, manakala satu penerbangan lagi dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan semuanya mendarat dengan selamat.

“Berikutan cuaca buruk itu, lebih 26 penerbangan yang berlepas dari LTAPP turut mengalami kelewatan, namun operasi di lapangan terbang berjalan lancar. Pada masa ini, semua operasi penerbangan berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Rapid Penang menghentikan sementara operasi perkhidmatan basnya berikutan kejadian banjir kilat di bahagian pulau dan tanah besar.
Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid Penang berkata, banyak jalan utama dinaiki air dan demi keselamatan orang ramai, mereka tiada pilihan kecuali menghentikan operasi sehingga keadaan kembali pulih.

Mereka turut meminta orang ramai merujuk laman Facebook Rapid Penang di rapidpgfans untuk maklumat terkini- FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.