BREAKING NEWS

Thursday, 9 November 2017

#BanjirPulauPinang Peniaga rugi hampir RM300,000

PULAU PINANG 8 Nov. - Banjir yang melanda negeri ini turut menyebabkan kerugian sehingga RM300,000 kepada sekurang-kurangnya 30 peniaga di Astaka Jalan Perak di sini apabila premis perniagaan mereka rosak dinaiki air.

Biarpun air semakin surut, para peniaga bagaimanapun tidak boleh menjalankan perniagaan kerana hampir semua kawasan medan selera yang menempatkan 20 kedai di situ dipenuhi lumpur.


Seorang peniaga, Mohamad Fauzi Mohamad Nasir, 30, berkata, kerja-kerja pembersihan premis dijalankan sejak petang kelmarin sebaik sahaja air banjir sedalam satu meter surut, namun masih belum selesai disebabkan banyak peralatan rosak perlu dikeluarkan dari gerai sebelum dibuang.

Dia yang sudah memulakan perniagaan itu hampir 20 tahun berkata, banyak perkakas di gerainya perlu digantikan dan kos yang perlu ditanggung­nya hampir menyamai waktu dia memulakan perniagaan.

“Bahan mentah seperti 300 ketul ayam dan 200 ekor ikan cencaru yang sepatutnya digunakan untuk berniaga pada hujung minggu lalu juga tidak boleh digunakan lagi, kita tiada pilihan lain, selain membuangnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tinjauan di tempat kejadian turut mendapati Ropewalk yang menjadi tapak perniagaan usahawan tempatan pada setiap pagi dan Stadium Bandaraya turut dipenuhi lumpur yang menyebabkan semua kegiatan terpaksa dihentikan seketika.

Dalam masa sama, seorang lagi peniaga, Shaik Daud Seen Mohd., 48, berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang bantuan seperti makanan dan kerja pembersihan daripada mana-mana agensi.

“Bagaimanapun, kita tetap akan membersihkan seluruh kawasan ini dengan segera bagi membolehkan perniagaan yang menjadi punca rezeki utama ini dimulakan semula,” katanya yang memulakan perniagaan hampir 15 tahun.



 
Copyright © 2014 PenangKini.