BREAKING NEWS

Sunday, 5 November 2017

#BanjirPulauPinang Peperiksaan SPM diteruskan

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diteruskan seperti jadual untuk calon di Pulau Pinang walaupun negeri itu berdepan bencana banjir kilat, kata timbalan menteri pendidikan.
Datuk P Kalamanathan berkata, perkhidmatan kecemasan sudah diarahkan untuk membawa calon ke pusat peperiksaan dan Jabatan Pendidikan negeri juga dalam keadaan berjaga-jaga.
Seramai 443,883 calon SPM 2017 akan menduduki peperiksaan itu mulai esok hingga 4 Disember nanti.
Ia akan dimulakan dengan kertas 1 Bahasa Malaysia dijadualkan 8 pagi, disusuli kertas 1 Teori Seni Visual pada 11 pagi dan kertas 2 Bahasa Malaysia pada 2 petang.
“Kami masih menilai keadaan ini, tetapi kami berharap dapat menjalankan peperiksaan mengikut masa dan jadual.
“Semua guru dan pengawas sudah diberitahu untuk bersiap sedia membantu semua calon yang menduduki peperiksaan itu. Keutamaan kami ialah keselamatan pelajar.

“Saya juga mahu ibu bapa dan guru mematuhi arahan rasmi pihak berkuasa,” kata Kamalanathan ketika dihubungi hari ini.
Beliau meminta calon memantau Facebooknya dari semasa ke semasa untuk perkembangan terkini mengenai SPM.
Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di 5 daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak 2 petang semalam.
Hujan lebat dan angin kencang yang berlarutan sehingga 5 pagi tadi juga menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan dilanda tanah runtuh.
Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2m hingga 1m berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.
 
Copyright © 2014 PenangKini.