BREAKING NEWS

Wednesday, 8 November 2017

#BanjirPulauPinang Ridhuan Tee puji surau buka pintu kepada mangsa banjir bukan Islam

PETALING JAYA: Ahli akademik Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah hari ini memuji tindakan sebuah surau Taman Free School di George Town, Pulau Pinang membuka pintu kepada penduduk pelbagai agama untuk mendapatkan perlindungan selepas banjir besar melanda negeri itu sejak hujung minggu.

Ridhuan berkata lebih banyak masjid atau surau perlu mencontohi tindakan itu.
“Inilah amalan nilai Islam yang patut dicontohi. Ini adalah peluang dakwah yang terbaik,” kata Ridhuan yang satu masa dulu kerap mengundang kontroversi menerusi penulisannya dalam akhbar Sinar Harian.


Semalam, pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, memuat naik gambar di Facebook menunjukkan beberapa mangsa banjir bukan Islam berehat di ruang solat surau, sambil mempertikaikan tindakan itu kerana membenarkan orang ramai masuk tanpa “menjaga adab”.
“Situasi gambar di atas tidak sepatutnya berlaku. Ia tidak boleh dikategorikan sebagai darurat kerana masih ada ikhtiar lain untuk keperluan mereka,” kata Zamihan, yang baru-baru ini mengundang kecaman Sultan Johor dan Selangor atas kuliahnya mempersoalkan tahap kebersihan diri bukan Islam.

Bagaimanapun, bilal surau Taman Free School, Sapno Tukijo, mempertahankan keputusannya membuka pintu surau, dengan berkata apa yang penting ialah keselamatan penduduk tidak kira perbezaan agama.

Sapno berkata seramai 70 orang mangsa banjir terdiri daripada kaum Cina dan India dari perkampungan sekitar Lengkuk P Ramlee berlindung di surau itu.
Ridhuan berkata apa yang dilakukan Sapno akan membuatkan orang bukan Islam tertarik mendalami Islam.

“Saya tidak boleh bayangkan kalau itu adalah ibu bapa saya. Sudah tentu saya amat terhutang budi kepada bilal tersebut,”

Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin itu menambah, mereka yang mengkritik Sapno perlu berfikir secara rasional, dan berkata dakwah perlu merentasi agama, bangsa dan latar belakang.
“Islam berkembang dengan contoh teladan yang baik dan bukan ekstrem atau membiarkan bukan Islam teraniaya atau dizalimi,” katanya - FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.