BREAKING NEWS

Wednesday, 15 November 2017

BN tak pandang ideologi politik bantu mangsa banjir


BUTTERWORTH: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang memberi jaminan semua mangsa banjir di seluruh negeri itu akan mendapat bantuan tanpa mengira pandangan politik mereka.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, berkata mereka bagaimanapun perlu bersabar menunggu peruntukan diluluskan kerana proses itu dilaksanakan secara berperingkat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar, berkata kerajaan Pusat masih menilai peruntukan sewajarnya untuk mangsa.
"Buat masa ini, kita fokus dengan pemberian bantuan seperti makanan, kelengkapan asas seperti tilam, bantal, selimut dan khidmat membersihkan rumah bagi meringankan beban mangsa banjir.
"Untuk bantuan selanjutnya, mangsa diminta bersabar kerana banyak proses perlu dilalui sebelum pengumuman berkaitan peruntukan diumumkan dalam tempoh terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian pada program penyerahan bantuan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada mangsa banjir di Telok Ayer Tawar di sini, hari ini.
Beliau mengulas tuduhan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mendakwa kerajaan Pusat tidak menghulurkan sebarang bantuan kepada mangsa banjir selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke kawasan bencana itu di negeri ini, minggu lalu.
Pada program berkenaan, Jahara bersama wakil Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyampaikan sumbangan tilam dan bantal kepada 50 mangsa banjir membabitkan peruntukan RM12,500.
Katanya, mangsa banjir sebenarnya menerima bantuan tidak putus-putus, kebanyakannya dihantar agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Seperti mana kerajaan membantu rakyat Kelantan ketika negeri itu dilanda banjir besar pada 2014, Pulau Pinang juga juga tidak dipinggirkan kerana bantuan sentiasa sahaja ada sehingga hari ini," katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.