BREAKING NEWS

Tuesday, 28 November 2017

Gedung Sri Pinang bantu usahawan bumiputera


PERMATANG PAUH 27 Nov.–Jawatankuasa Kumpulan Fokus Pembangunan Usahawan dan Kope­rasi negeri akan membuka sebuah gedung dinamakan Sri Pinang khusus untuk memasarkan produk keluaran usahawan bumiputera yang mendapat bim­bingan jawatankuasa berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Muhamad Farid Saad berkata, hasrat berkenaan dijangka dapat direalisasikan tahun depan sekali gus membantu merancakkan lagi ekonomi masyarakat setempat.


Menurutnya, sebelum ini ruang niaga Sri Pinang yang menyertai beberapa ekspo keusahawanan termasuk di Singapura dan China mendapat sambutan hangat disebabkan kepelbagaian produk yang dijual.

“Selepas gedung berkenaan beroperasi kelak, ia akan menawarkan pengalaman beli-belah baharu kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini dan berdasarkan rancangan awal, jawatankuasa bercadang membuka premis berkenaan di sekitar hentian rehat di Lebuh Raya Utara Selatan di Seberang Perai,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Ke­sedaran Halal anjuran Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Business And Advanced Technology Solution Sdn. Bhd. (Respect), Dr. Halim Shah Hamzah.

Sementara itu, Muhamad Farid turut menasihatkan usahawan di negeri ini segera mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengembangkan perniagaan mereka termasuk me­nembusi pasaran negara-negara Islam.

Katanya, setakat ini hanya 186 usahawan bumiputera negeri ini yang mempunyai sijil berkenaan sedangkan produk keluaran mereka mempunyai potensi besar untuk diketengahkan.

“Ini kerana sijil halal Jakim diiktiraf seluruh dunia dan saya berharap Respect dapat membimbing usahawan tentang langkah yang perlu dilakukan untuk mendapatkan sijil berkenaan,” katanya.

UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.