BREAKING NEWS

Tuesday, 21 November 2017

Hishammuddin sokong Najib, Zahid menang tanpa bertanding


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyokong cadangan 2 jawatan tertinggi dalam Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu tahun depan.
Naib presiden Umno itu dalam satu wawancara bersama The Star berkata, kebimbangan terbesarnya ialah Barisan Nasional (BN) akan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tanpa sokongan pengundi bukan Melayu.

Katanya, cadangan 2 jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan akan memastikan fokus ahli kekal kepada PRU14. Ia juga dapat mengelakkan sesetengah pihak melaga-lagakan 2 pemimpin tertinggi parti itu.

“Perkara paling penting untuk kita ialah jentera dan kepimpinan Umno di semua peringkat memfokuskan PRU14.

“Jika ia bermakna 2 jawatan tertinggi kekal tidak dipertandingkan kerana usul dikemukakan di peringkat bahagian, maka saya akan menyokongnya,” katanya kepada akhbar itu menjelang Perhimpunan Agung Umno.

Ogos lalu, Umno bahagian Masjid Tanah meluluskan usul mencadangkan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal memegang 2 jawatan tertinggi itu.


Zahid dilantik Majlis Tertinggi Umno untuk menjalankan tugas timbalan presiden selepas parti itu menggantung sebelum memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Februari 2016.

The Star memetik Hishammuddin sebagai berkata: “Ia (juga) menghalang orang daripada cuba melaga-lagakan Zahid dengan saya, Zahid dan perdana menteri atau saya terhadap perdana menteri.”
Katanya, beliau mempunyai hubungan baik dengan Zahid.

“Saya rasa akhirnya kami berdua menyedari parti memerlukan kami bertiga untuk bersatu.
“Saya tidak akan membuat kenyataan peribadi mengenai kedudukan presiden dan timbalan presiden jika saya tidak maksudkannya.”

Bagaimanapun, menteri pertahanan itu berkata, cadangan berkenaan tidak akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Umno sebagai usul.
“Saya sudah jelaskan kepada speaker yang kita tidak akan menyentuh pemilihan Umno akan datang kerana sekarang terlalu dekat dengan PRU.”

Hishammuddin berkata, ia penting untuk BN mendapat sokongan semua kaum dan menggesa pengundi mempertimbangkannya.

“Jika kami memenangi pilihan raya akan datang, saya mahu mempunyai undi bukan Melayu yang munasabah kerana kita semua pemegang amanah di Malaysia.

“Kebimbangan terbesar saya bukan Barisan kalah dalam pilihan raya umum, tetapi menang tanpa sokongan bukan Melayu.” FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.