BREAKING NEWS

Monday, 27 November 2017

Jadikan PAU 2017 Semangat Perang Untuk Hadapi PRU, Elak Tuding Jari Sesama Sendiri


KUALA LUMPUR, 24 Nov – Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember depan bukanlah masa untuk menuding jari antara satu dengan yang lain apatah lagi untuk mencari salah mana-mana pihak sebaliknya medan terbaik untuk melahirkan semangat ‘perang‘ yang tinggi dikalangan jentera parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata platform berkenaan merupakan perhimpunan terakhir sebelum parti berdepan pilihan raya umum, maka ia saat yang amat berharga untuk seluruh jentera parti membangkitkan semangat yang amat tinggi dalam usaha membantu parti mencapai kejayaan kelak.
“Ini merupakan perhimpunan agung UMNO terakhir sebelum kita menempuh pilihan raya umum dan percaya perwakilan khususnya di kalangan para pembahas usul akan bawa semangat yang sama untuk menghadapi pilihan raya umum nanti.
“Pada masa yang sama kita juga tidak boleh memperkecilkan mana-mana pihak serta tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum dan sebagainya dalam usaha mengekalkan keharmonian yang sedia ada hari ini,“ katanya kepada UMNO-Online dalam wawancara sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017.
Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
PAU 2017 akan bermula dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malamnya.
Pada 6 Disember persidangan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri, manakala malamnya pula mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO.
Zaidi seterusnya percaya dan menaruh keyakinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberikan kata-kata semangat kepada seluruh ahli parti dalam ucapan dasarnya kelak.
“Kita penuh yakin dan merasakan Presiden juga akan berkongsi semangat untuk kita sama-sama menghadapi pilihan raya umum kali ini daripada mencari isu yang akan membawa perpcahan sesama kita.
“Seterusnya kita mengharapkan perhimpunan kali ini akan berlangsung dalam susana ceria, suasana muhibbah kekeluargaan dan semangat ‘peperangan‘ untuk pilihan raya umum akan datang ini dan mudah-mudahan seluruh ahli UMNO akan menerima semangat baru selepas berakhirnya perhimpunan agung UMNO 2017 nanti,” katanya lagi. 
 
Copyright © 2014 PenangKini.