BREAKING NEWS

Friday, 24 November 2017

Jangan berharap sepenuhnya pada Persekutuan



GEORGE TOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta supaya tidak berharap sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam usaha menangani masalah banjir di negeri ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata kerajaan negeri pimpinan DAP itu sebaliknya perlu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan terutamanya melibatkan peruntukan kewangan untuk pelaksanaan projek-projek mitigasi banjir di negeri ini.

"Ada juga peruntukan yang kerajaan negeri bagi sebelum ini dan diharapkan ia berterusan. Jangan letakkan semua beban 13 projek mitigasi banjir di bawah kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri juga ada dana dan hasil daripada penjualan tanah kerajaan negeri.

"Mereka juga perlu menggunakannya bagi projek mitigasi banjir di Pulau Pinang. Sebagai contoh Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion. Kerajaan negeri boleh ambil 10 peratus daripada peruntukan PTMP untuk projek RTB. Buat pelan pengangkutan awam yang hebat kalau banjir pun tak ada guna juga," katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan persekutuan bersedia untuk mempertimbangkan peruntukan RM1 bilion bagi projek RTB di negeri ini secara berperingkat mengikut kedudukan kewangan negara.

Zainal Abidin berkata Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang akan diwakili pihak yang berkaitan, antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran, untuk melihat senarai keutamaan membabitkan 13 projek mitigasi banjir di negeri ini.

"Tentu sekali kerajaan Persekutuan tidak boleh bagi sekali gus RM1 bilion, ia akan datang secara berperingkat. Kita pun tak tahu berapa lama peringkat itu. Tapi kita nak bagi senarai keutamaan, mana dulu (projek) yang boleh kita bawa dan diperakukan untuk dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan Persekutuan.

"Kalau ini kita dapat kemukakan dalam masa terdekat kita harap akan dapat maklum balas segera daripada kerajaan Persekutuan dan projek ini kalau diluluskan pun ambil masa untuk 'take-off'. Reka bentuk, panggil tender, penilaian dan sebagainya akan ambil masa... ia bukan satu projek yang boleh dibina esok. Kita pun tak nak buat secara tergesa-gesa," katanya.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya sedang dalam proses untuk memuktamadkan projek-projek yang perlu diberi keutamaan sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk perbincangan selanjutnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Pulau Pinang pada 7 Nov lepas mengumumkan bantuan RM1 bilion untuk melaksanakan 13 projek mitigasi banjir di negeri ini. - Bernama


 
Copyright © 2014 PenangKini.