BREAKING NEWS

Friday, 17 November 2017

Kerajaan campur tangan jika pembangunan negeri rosak alam sekitar


17 NOV: Meskipun pelaksanaan pembangunan adalah kuasa kerajaan negeri, namun kerajaan Persekutuan mempunyai hak untuk campur tangan sekiranya ia menjejaskan alam sekitar.
Berikutan itu, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata pihaknya akan memohon kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk meningkatkan pemantauan terhadap perkembangan itu demi keselamatan rakyat serta menjaga kelestarian alam.
 “Sebagai contoh, bilangan projek pembangunan di sekitar Tanjung Bungah meningkat beberapa kali ganda sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sekiranya pertumbuhan projek-projek tidak terkawal ini dibiar berterusan, perkara ini pasti bakal mengundang bencana yang memudaratkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siew Keong dalam masa yang sama turut memaklumkan bahawa dana berjumlah RM628 ,000  sudah dikumpulkan bagi membantu mangsa-mangsa kejadian banjir Pulau Mutiara.
Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut menegaskan bahawa tumpuan pada ketika ini adalah untuk membantu mangsa-mangsa banjir membangunkan semula kediaman dan persekitaran mereka.

“Kami akan terus menghulurkan bantuan dan perkhidmatan untuk membantu meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir, terutamanya rumah-rumah warga tua yang menghadapi kerosakan amat serius,” tegas Ahli Parlimen Teluk Intan itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.