BREAKING NEWS

Wednesday, 8 November 2017

Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu beri keutamaan projek mitigasi - Dato' Jahara Hamid

Kerajaan negeri pimpinan DAP diingatkan supaya memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek mitigasi banjir, berbanding hasrat membangunkan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, berkata ia bagi memastikan rakyat di negeri ini tidak berterusan terkesan akibat banjir yang kerap kali berlaku, khususnya ketika hujan lebat.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri perlu segera mengkaji semula penguatkuasaan sekurang-kurangnya empat akta berkaitan, sekali gus muncul sebagai antara kaedah untuk mengekang kejadian banjir daripada terus berulang.

"Kerajaan negeri dalam keghairahan untuk membangunkan Pulau Pinang telah mengetepikan pandangan dan bantahan rakyat. Saya kasihan kepada YB (Yang Berhormat) Tanjung Bungah dan lain-lain, termasuklah Penanti yang tak putus-putus bersuara tentang banjir dan isu rakyat.

"Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) buat pekak. YB dulu terpaksa akur dengan arahan parti hingga tak sokong usul kami tetapi kali ini ikut kata hati dan sokong usul BN (Barisan Nasional) berkaitan banjir," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 pada sidang DUN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar turut menjelaskan bahawa peruntukan RM10 juta yang diumumkan dalam Bajet 2018 Pulau Pinang bagi perlindungan lereng bukit bersama kajian perubahan iklim adalah terlalu kecil.

"Ia juga terlalu lewat setelah 10 tahun memerintah dan 119 kali banjir serta hilang 11 nyawa (dalam insiden tanah runtuh di Tanjung Bungah). Kerajaan negeri perlu serius dalam usaha untuk menangani dan mengelak masalah banjir di negeri ini.

"Kenapa kerajaan negeri memandang serong ke atas usaha Penang Forum? Mereka menyuarakan masalah dan kebimbangan rakyat, sepatutnya usaha mereka membantu menganalisis masalah banjir dan tanah runtuh dengan pakar dalam bidang berkenaan dihargai," katanya.

Mengulas slogan 'Bersih, Hijau dan Selamat', Jahara berkata ia ternyata sudah terkubur apabila Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati 10 daripada 24 sungai di negeri ini tercemar, sejak 2011 lalu.

"Ia membabitkan enam sungai diklasifikasikan Kelas 4 dalam Indeks Kualiti Air, manakala sembilan adalah separuh tercemar dan hanya lima sahaja yang bersih. Ini akan memberi kesan negatif dan kemusnahan dan menjejaskan ekosistem.

"Laporan JAS juga mendapati kandungan E-Coli paling tinggi di Kuala Sungai Pinang, Jelutong; Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau; Kuala Sungai Perai dan Kuala Sungai Juru, iaitu pencemaran bakteria dan najis manusia serta haiwan yang datang daripada buangan domestik dan industri.

"Tambakan laut pula telah memusnahkan 70 peratus hutan paya bakau, manakala pantai putih indah menjadi kawasan berselut. Senario ini memberi kesan buruk kepada rakyat di negeri ini, terutamanya penggemar makanan laut," katanya.

Info akta yang perlu dikaji semula:

1. Akta Pemeliharaan Tanah 1960

2. Pelan Dasar Kawalan Perancangan dan Pembangunan 19663.

Kuatkuasakan sepenuhnya garis panduan manual 

- Saliran Mesra Alam Edisi Ke-2 (MSMA)   

- Garis panduan membabitkan sungai dan rizab sungai 

- Integrated Shoreline Management 2010 

- Garis Panduan TPS 1/97 Kawalan Hakisan berikutan daripada pembangunan di kawasan pantai4.

Struktur Pulau Pinang 2020 yang memberi pengecualian kepada projek khas serta garis panduan projek khas5. Mewartakan Pelan Tempatan.

 
Copyright © 2014 PenangKini.