BREAKING NEWS

Monday, 20 November 2017

Kerajaan kaji kemungkinan naikkan subsidi minyak - Zahid Hamidi

BAGAN DATUK: Kementerian Kewangan sedang mengkaji kemungkinan menaikkan subsidi bahan bakar bagi memastikan harga bahan itu tidak terus meningkat di pasaran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Ekonomi Negara esok untuk perbincangan lanjut.

“Kami sedang mengkajinya (naikkan subsidi),” katanya selepas merasmikan Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang hari ini.

Program sehari itu dianjurkan Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Zahid berkata demikian ketika ditanya usaha kerajaan untuk memastikan harga bahan bakar di pasaran tidak terus meningkat.

Ketika ini, harga seliter petrol RON 95 ialah RM2.38, manakala RON 97 dan diesel masing-masing RM2.66 dan RM2.25.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam ucapannya menggesa rakyat supaya mempercayai tohmahan pihak tertentu yang mengatakan negara akan muflis.

Beliau berkata, sekiranya negara akan bankrap, kerajaan tidak akan mampu membentangkan Bajet 2018 dengan peruntukan RM280.25 bilion.
“Saya sebagai pegawai kanan kerajaan dan duduk dalam Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) saya tahu apa yang berlaku dan apa yang dibuat kerajaan untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata, tohmahan tersebut juga tidak berasas kerana Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku ke-3 tahun ini mencatat pertumbuhan 6.2% sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu.
“Ini sekaligus membuktikan Malaysia berkembang pantas di rantau ini,” katanya. FMT

 
Copyright © 2014 PenangKini.