BREAKING NEWS

Friday, 10 November 2017

Kerajaan Pulau Pinang lulus tanpa terima pandangan



GEORGETOWN - Wakil rakyat BN hari ini mempersoal tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat seolah-olah mengetepikan pandangan dan ulasan jabatan berkaitan dalam memberi kelulusan kepada sesuatu perkara.
Ketua Pembangkang Dun, Datuk Jahara Hamid berkata, ini dilihat dalam kes pembangunan di Tanjung Bungah yang diluluskan walaupun tidak mendapat sokongan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kita begitu kecewa dengan kerajaan negeri yang menggunakan kuasa untuk meluluskan berbagai projek walaupun tidak mendapat sokongan daripada jabatan dan agensi berkaitan. Contohnya JAS tak sokong projek di Tanjung Bungah tapi kerajaan negeri masih luluskan projek itu.

"Lesen-lesen pusat hiburan pula diluluskan walaupun tidak disokong Polis Diraja Malaysia dan banyak pula yang beroperasi tanpa lesen dan masih terus beroperasi. Tidak ada usaha untuk memberhentikan operasi pusat-pusat hiburan ini yang beroperasi tanpa lesen dan lesen dikeluarkan walaupun polis tak menyokong," katanya pada sidang media di lobi Dun, di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan jawapan bertulis yang diperolehnya, sebanyak 1,174 lesen pusat hiburan keluarga, pusat karaoke, snuker dan rumah urut yang diluluskan pihak berkuasa tempatan dari 2008 hingga kini dan bilangan premis yang beroperasi tanpa lesen adalah sebanyak 842 buah.

Jahara berkata bilangan lesen yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan tanpa sokongan pihak polis pula adalah sebanyak 121 lesen.

Sementara itu, Adun Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad mempersoal pandangan kerajaan negeri terhadap ulasan agensi dan jabatan kerajaan terbabit.
Beliau berkata kerajaan negeri dilihat seolah-olah lebih mengguna pakai pandangan Anggota Majlis berbanding pandangan pakar dari jabatan berkaitan.


"Kalau nak cari ahli jawatankuasa dalam satu jawatankuasa cari yang betul-betul cekap. Hari ini saya dapati ciri CAT (cekap, telus dan akauntabiliti) tidak wujud dalam kalangan orang yang menganggotai jawatankuasa itu," katanya. - Bernama
  
 
Copyright © 2014 PenangKini.