BREAKING NEWS

Monday, 13 November 2017

Kerajaan Pulau Pinang Sentiasa Hidup Dalam Penafian - Dato Jahara Hamid


GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang disifatkan seperti 'hidup dalam penafian' apabila menafikan bantuan yang dihulurkan Kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir di negeri itu.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, berkata Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menyumbang barangan keperluan kepada mangsa banjir, malah tenaga untuk membersihkan kawasan yang terjejas teruk.
"Kerajaan negeri memang sentiasa 'denial' (nafikan), tidak mahu mengaku Kerajaan Persekutuan sudah hulurkan bantuan.
"Bukan saja makanan yang kita hulurkan, tetapi negeri jiran terutamanya negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) turut datang membantu membersihkan kawasan yang terjejas," katanya ketika ditemui pemberita di DUN di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika sidang media di DUN tengah hari tadi yang mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak menghulurkan bantuan kepada Pulau Pinang bagi mengatasi masalah banjir, termasuk bantuan kepada mangsa bencana.
Guan Eng mendakwa sehingga kini belum ada sebarang pengumuman bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas lawatan beliau ke Pulau Pinang pada 7 November lalu.
Kenyataan Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Air Putih itu dilihat turut menafikan bantuan yang dihulurkan Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) kepada mangsa bencana sepanjang minggu lalu.
Sabtu lalu, Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya mengagihkan 60 kontena bantuan kepada mangsa banjir Pulau Pinang, seperti yang diarahkan Najib, yang juga Penaung kelab berkenaan.
Antara sumbangan yang diserahkan adalah tilam, bantal, susu bayi dan kit penjagaan kebersihan yang diagihkan secara berperingkat bermula 8 November lalu.


 
Copyright © 2014 PenangKini.