BREAKING NEWS

Wednesday, 15 November 2017

Lesen pusat hiburan didakwa mudah lulus

GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mempertikaikan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang didakwa meluluskan operasi premis pusat hiburan dengan mudah.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, berkata kerajaan negeri juga memberi alasan tidak masuk akal kononnya operasi pusat hiburan diluluskan kerana tidak menerima bantahan penduduk setempat.
"Tindakan itu dilihat tidak logik kerana masalah yang timbul di pusat hiburan hanya boleh dikesan selepas operasinya bermula.
"Kerajaan negeri perlu kaji semula kaedah memberi kelulusan kepada premis berkenaan dengan merujuk pemimpin tempatan supaya tidak mengganggu rutin harian masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi penggulungan sidang DUN negeri di sini, hari ini.
Terdahulu, Jahara mendakwa kerajaan negeri memberi kelulusan mudah kepada banyak premis pusat hiburan, dengan mengetepikan pandangan pihak berwajib, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, berkata kelulusan diberi jika pengusaha menjalankan perniagaan di zon ditetapkan PBT, tidak mengganggu atau dibantah penduduk.
Katanya, pihaknya turut mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah dan Tanah, sebelum lesen perniagaan dapat dikeluarkan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.