BREAKING NEWS

Thursday, 30 November 2017

Malaysia, India Sedia Perkukuh RCEP


Malaysia dan India sedia berperanan aktif ke arah mengukuhkan Kerjasama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memastikan rantau Asia menjadi penggerak ekonomi terpenting dunia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah pintu masuk India ke ASEAN dan selepas RCEP dimeterai, kedua-dua negara akan menjadi sebahagian daripada kawasan dengan hampir 50 peratus penduduk dunia.

Beliau berkata, keadaan itu dengan sendirinya menyumbang terhadap hampir 40 peratus perdagangan global.

"Justeru, kami bukan hanya akan bersedia, malah menjadi penentu untuk mengangkat Asia ke mata dunia," katanya dalam ucaptama pada Majlis Economic Times Asian Business Leaders Conclave 2017 (ABLC) di Kuala Lumpur malam tadi. 

Najib berkata, India ketika ini adalah rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia, selain menjadi destinasi eksport ketujuh terbesar dan sumber import ke-11 terbesar negara ini.

"India adalah pelabur kedua terbesar Malaysia bernilai AS$2.31 bilion," katanya sambil menambah Malaysia antara negara yang berada di kedudukan tertinggi sebagai pelabur asing di India dan kedua terbesar dari ASEAN.

Najib berkata, lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi, ke negara ini pada November 2015 serta lawatan balas beliau ke India pada April lalu, berjaya membawa perubahan kualitatif dalam hubungan kedua-dua negara.

"Selepas lawatan saya tahun ini, kita bersama memperingati ulang tahun ke-60 perhubungan diplomatik India-Malaysia dan memuji ikatan persahabatan yang kuat menerusi pelbagai hubungan sejarah, budaya dan sosial," katanya.

ABLC yang berlangsung dua hari hari ini, dihadiri ramai tokoh korporat dan perniagaan Asia mewakili beberapa negara termasuk Taiwan, Sri Lanka, Bangladesh dan Kemboja.

Antara yang hadir adalah Pengerusi Kumpulan GMR, GM Rao; Ketua Pegawai Eksekutif James Law Cybertecture, James Law; Menteri Industri Bangladesh, Alhaz Amir Hossain Amu; Setiausaha Negara yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Kemboja, Ouk Prachea; Menteri Sains, Teknologi dan Penyelidikan Sri Lanka, Sushil Premajayantha serta Naib Pengerusi Syarikat Taitra, Taiwan, Dr Chuang Suo Ho.

Beberapa topik utama dibincang sepanjang sidang kemuncak itu merangkumi peluang meningkatkan perdagangan Intra-Asia, mengurangkan halangan kepada perdagangan dan pelaburan antarabangsa di rantau ini, peranan sektor kewangan dalam mencapai pertumbuhan inklusif, meningkatkan usaha kerjasama untuk pertumbuhan industri yang lebih besar di Asia serta memacu pelaburan infrastruktur global ke Asia.

Najib berkata, kedua-dua negara juga berkongsi keyakinan dalam menghadapi keputusan yang sukar seperti pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Kami memperkenalkan versi (GST) kami pada 2015, manakala India memperkenalkannya awal tahun ini.

"India dan Malaysia sudah menyertai lebih 160 negara di seluruh dunia yang melaksanakan cukai cekap, telus dan mesra perniagaan ini dan melihat manfaatnya kerana ia memberi daya tahan diperlukan untuk mengatasi kejatuhan harga minyak dan penurunan hasil (kerajaan)," katanya.

Menyentuh ancaman keganasan, Najib berkata, kedua-dua negara berkongsi pandangan akan kepentingan meningkatkan keselamatan serta menangani ancaman pengganas di rantau ini.

 
Copyright © 2014 PenangKini.