BREAKING NEWS

Wednesday, 22 November 2017

Norlela Bakal Bertanding di Kajang, Akibat dibuang DAP Di Pulau Pinang ?


Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti, Norlela Ariffin berpendapat dirinya mungkin tidak akan bertanding semula pada pilihan raya umum negara akan datang kerana namanya tidak berada dalam senarai calon yang dicadangkan oleh PKR.

“Tidak, nama saya tidak ada dalam senarai,” kata Norlela kepada Malaysiakini, menimbulkan spekulasi bahawa beliau mungkin disingkirkan susulan pendekatan lantangnya dalam menyelesaikan masalah pengundi.

Norlela adalah antara sepuluh wakil rakyat di Pulau Pinang. Bekas pensyarah universiti itu, memenangi kerusi Penanti pada 2013 ketika menggantikan Pengerusi PKR Pulau Pinang,, Mansor Othman, yang bertanding kerusi Parlimen Nibong Tebal.

Sekalipun dirinya dicalonkan, Norlela berkata beliau mungkin dipindahkan ke kerusi lain di luar Pulau Pinang.

Difahamkan, beliau berkemungkinan besar akan bertanding di Kajang, Selangor, yang kini dipegang oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Ada desakan supaya saya bertanding di kerusi lain, nama saya tidak ada di senarai di Pulau Pinang, saya telah diberitahu sejak sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Mei lalu,” kata ibu kepada seorang anak berusia empat tahun itu.

Norlela dikatakan agak lantang dalam memperjuangkan isu-isu yang membabitkan penduduk yang diwakilinya.

Beliau baru-baru ini dibidas oleh penyokong kerajaan Pulau Pinang kerana mengucapkan “terima kasih, SPRM” selepas suruhanjaya itu menyerbu sebuah kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Berikutan serbuan itu, exco alam sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh ditahan oleh SPRM tetapi ADUN Sungai Puyu menafikan sebarang kesalahan dalam perkara itu.

Ketika itu, Norlela mendakwa beliau mempunyai petisyen yang ditandatangani oleh 170 penduduk yang mahu kilang berusia 15 tahun itu ditutup. – Malaysiakini
 
Copyright © 2014 PenangKini.