BREAKING NEWS

Wednesday, 29 November 2017

PAU 2017: Tumpu kemenangan PRU14 - Tengku Adnan

PAU 2017: Tumpu kemenangan PRU14 - Tengku Adnan
PAU 2017 kali ini akan memberi penumpuan kepada usaha parti dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 kali ini akan memberi penumpuan kepada usaha parti dalam membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ia sekali gus platform terbaik untuk meniup semangat perjuangan para perwakilan bagi memastikan parti menang besar pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya yakin ucapan Presiden parti juga akan tertumpu kepada PRU-14 dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai pengerusi jawatankuasa usul telah pun bertemu dengan semua pembahas supaya mereka menumpukan perhatian kepada PRU-14," katanya pada sidang media sempena persediaan PAU 2017 pada Selasa.

Dalam pada itu tegas Tengku Adnan satu sistem keselamatan akan diperkenalkan pada PAU kali ini bagi memastikan hanya perwakilan yang memiliki pas sah sahaja dibenarkan masuk ke dewan persidangan.

Katanya, pas perwakilan itu akan dilengkapi dengan cip khas bagi memudahkan mereka melalui laluan keselamatan ke dewan persidangan.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 akan berlangsung pada 5 sehingga 9 Disember depan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
 
Copyright © 2014 PenangKini.