BREAKING NEWS

Tuesday, 28 November 2017

Pembangkang Cuba Politikkan Isu Kem Tentera?


Sidang Dewan Rakyat hari ini semakin panas dengan gelagat Ahli Parlimen pembangkang yang tidak habis-habis menjadikan ruang perbahasan sebagai pentas menularkan kempen politik tidak sihat mereka. Perbahasan Parlimen yang sewajarnya menjadi ruang pembentukan undang-undang dan perbincangan hal-hal kebajikan dan pembangunan rakyat telah diambil kesempatan oleh Ahli Parlimen pembangkang untuk menukarkannya menjadi gelanggang politik membincangkan isu-isu kepartian.
Sikap sebilangan besar Ahli Parlimen pembangkang yang cuba menimbulkan syak terhadap segala perancangan baik Kerajaan juga merupakan satu usaha untuk menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap setiap usaha positif yang digerakkan oleh pihak Kerajaan. Segala pelan tindakan yang dirangka dan usaha yang cuba dilaksanakan akan dialihkan sebagai satu hal yang tidak akan memberikan manfaat kepada rakyat.
Kesempitan dalam berpolitik membuatkan setiap langkah Kerajaan sentiasa dilihat buruk dan Ahli Parlimen pembangkang disaksikan sebagai gagal untuk memainkan peranan secara matang bagi membolehkan rakyat membuat pertimbangan sewajarnya. Tindakan sebegini amat memalukan kerana tugas hakiki Ahli Parlimen itu ialah membawakan isu rakyat bukan menghebahkan isu-isu yang menimbulkan masalah dalam kalangan parti masing-masing.
Semasa ucapan penggulungan Bajet 2018 Peringkat Jawatankuasa untuk Kementerian Pertahanan. Beberapa Ahli Parlimen pembangkang khasnya dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dilihat secara sengaja telah menimbulkan kekeliruan kepada rakyat apabila cuba menimbulkan syak terhadap usaha Kerajaan membina kem tentera baru dan menempatkan tentera di kawasan-kawasan terlibat. Mengikut hujah yang dikemukakan pihak pembangkang mengapa Kerajaan telah menghantar anggota tentera di kawasan yang terlibat sedangkan kem tentera belum siap dibina.
Jelas sekali Ahli Parlimen pembangkang ini tidak berjaya menghadam hal berkaitan strategi ketenteraan dan keperluan keselamatan negara dan niat pihak pembangkang menimbulkan isu ini ternyata dapat dihidu kerana ia sebenarnya cuba mengaitkan penempatan anggota tentera ke kawasan baru ini dengan taraf anggota berkenaan sebagai pengundi di kawasan terlibat. Ini juga merupakan satu percubaan untuk membuat andaian bahawa Kerajaan sedang mengatur usaha untuk mengurangkan peluang pembangkang untuk memenangi undi di kawasan-kawasan terlibat.
Namun begitu, ini hanya satu helah pembangkang yang langsung tidak mempunyai asas. Mengaitkan penempatan tentera sebagai satu keputusan politik ialah bentuk pemikiran dangkal yang sukar untuk diterima. Amat jelas bahawa penempatan tentera dilakukan selepas menimbangkan segala bentuk strategi dan keperluan keselamatan demi menjaga negara dan rakyat secara keseluruhannya.
Malah tuduhan pembangkang ini boleh disifatkan sebagai meleset kerana Kerajaan tidak mencampur aduk isu keselamatan dengan hal-hal politik kepartian seperti ini. Malah berdasarkan kepada keputusan pilihan raya lepas, Pembangkang berjaya memenangi kerusi di kawasan yang menempatkan kem tentera yang besar seperti di Teluk Kemang dan Lumut. Ternyata ini hanya satu usaha untuk menimbulkan sangkaan buruk rakyat terhadap Kerajaan dan ia bukan satu petanda baik untuk perkembangan kematangan politik di negara kita. - MalaysianAccess
 
Copyright © 2014 PenangKini.