BREAKING NEWS

Thursday, 30 November 2017

Pembangkang Guna Taktik Pembunuhan Karakter - Zambry



Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak gusar atau risau dengan serangan bertali arus oleh pembangkang terhadap beliau kerana ia taktik yang sering digunakan untuk membunuh karakternya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata berkata serangan pembangkang yang bersifat peribadi itu hanya untuk menjatuhkan imej beliau dan mahu mewujudkan imej negatif dalam kalangan rakyat.

"Saya tidak risau kerana ia memang cara mereka tetapi akhirnya nanti biar rakyat yang menilai apa yang saya lakukan selaku Menteri Besar selama ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pembangkang yang kelihatan seolah-olah cemas dengan kejayaan beliau membangunkan Perak.


Menurut Zambry, rakyat juga seharusnya menilai watak sebenar ditonjolkan oleh pihak pembangkang yang sering menggunakan perkataan kesat serta memutarbelitkan fakta.

"Sebagai contoh pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, semua orang boleh lihat bagaimana mereka sering bermain dengan fakta untuk mengelirukan rakyat serta memburukkan kerajaan negeri.



"Dalam pada itu mereka maki hamun saya, gunakan perkataan macam-macam tidak kira di dalam dewan (DUN) atau pun ceramah jadi saya tidak tahu adakah ini ciri-ciri pemimpin yang rakyat mahukan sebenarnya?," katanya.



Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming baru-baru ini mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zambry dalam ceramahnya di Kampung Simee di sini.



Pemuda UMNO Perak serta tujuh badan bukan kerajaan (NGO) kemudian membuat laporan polis supaya tindakan tegas diambil terhadap Nga.
 
Copyright © 2014 PenangKini.