BREAKING NEWS

Wednesday, 8 November 2017

Pembangunan pesat punca tanah runtuh


GEORGETOWN: Pembangunan luar kawalan didakwa menjadi antara punca kejadian tanah runtuh kerap berlaku di negeri ini, akibat topografi berbukit diratakan untuk memberi laluan pembinaan pelbagai projek pembangunan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr Muhammad Farid Saad, berkata keadaan itu diburukkan lagi sekiranya berlaku hujan lebat berterusan, sekali gus meletakkan nasib rakyat dalam bahaya.
"Hampir semua kes tanah runtuh yang berlaku di negeri ini adalah di kawasan bukit yang dipotong untuk mendapatkan aras pembangunan, selain proses pemotongan bukit dibuat bagi mendapatkan keluasan tapak pembinaan.
"Kesannya tetap sama, iaitu mengundang kepada berlakunya kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur, walaupun sesetengah pembangunan dibuat di kawasan tanah bukit tidak melebihi 75 meter. Justeru, adalah wajar supaya kelulusan pembinaan di kawasan berkenaan dibantah.
"Tambahan, sistem perparitan sedia ada yang tidak sempurna juga menyumbang kepada punca kejadian terbabit kerana apabila tanah diusik melalui pemotongan tanah, strukturnya pasti terjejas," katanya ketika ditemui BH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sini, hari ini.
Muhammad Farid juga mendedahkan, sesetengah projek pembangunan di negeri ini dilakukan tanpa mengikut garis panduan yang dinyatakan dalam Rancangan Struktur Pulau Pinang (RSNPP) 2005-2020.
"Ini kerana terdapat sesetengah projek pembangunan di negeri ini diberikan kelulusan lhas oleh Jawatankuasa Perancangan negeri atau pusat sehenti di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
"Malah, trend terkini pembangunan Pulau Pinang mengalami evolusi yang teramat besar jika dibandingkan dengan era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu. Ini kerana kerajaan negeri kini macam tak ada kawalan pembangunan di lereng bukit," katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.