BREAKING NEWS

Wednesday, 1 November 2017

Penang Forum: Jangan alih perhatian terhadap pembangunan lereng bukit & banjir di Pulau Pinang



Penang Forum memberi peringatan mengenai cubaan mengalihkan perhatian daripada kebimbangan terhadap pembangunan lereng bukit dan banjir yang melanda Pulau Pinang sekarang ini.
Pakatan 20 NGO hak sivil dan alam sekitar itu berkata walaupun dialog yang dianjurkan Ahad lepas di George Town mengenai banjir dan punca sebenar bencana itu, pihak tertentu cuba mengalihkan perhatian daripada isu berbangkit dengan memimbulkan isu kontroversi yang tiada kaitan.

“Tiada siapa patut mengalihkan perhatian daripada isu pokok iaitu pembangunan lereng bukit dan banjr di Pulau Pinang yang diketengahkan di ‘Penang Forum 8’ Ahad lepas,” kata jawatankuasa pemandu pakatan itu dalam kenyataan hari ini.

Pakatan itu kesal pihak tertentu cuba mencipta isu baru dengan menuduh salah seorang speaker, K Suthakar, yang mewakili Persatuan Penduduk Bandar Baru Air Itam, berkata sesuatu yang tidak beliau ungkapkan di acara itu.

“Ada bukti video apa yang diungkapkan dan konteks ia diungkapkan oleh seseorang dalam kalangan hadirin,” kata jawatankuasa itu.

“Suthakar bercakap mengenai isu banjir di Bandar Baru Ayer Itam bagi pihak penduduk yang kebimbangan di kawasan itu dan bukan bagi pihak majikannya,” kata Penang Forum, dan menambah banjir melanda pekan itu sejak 2 atau 3 tahun lalu.

Suthakar, yang bertugas sebagai editor di sebuah syarikat berita, awal hari ini berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung mesej WhatsApp tular yang mendakwa beliau menghina Deepavali dan orang Hindu dengan membuat beberapa kenyataan tertentu di dialog tersebut.
“Ini fitnah dan saya sedang dapatkan nasihat undang-undang,” katanya.

Penang Forum juga berkata mereka bukan sebuah kumpulan politik.
“Isu berbangkit berunsur politik hanya kerana hampir semua isu berkepentingan awam menyentuh politik,” kata mereka.

“Kumpulan masyarakat sivil berhak membangkitkan isu berkenaan dalam perjuangan kami untuk kebaikan bersama,” tambahnya.

Video 4 bahagian dialog itu boleh ditonton di:
penangforum.net/penang-forum-8/
 
Copyright © 2014 PenangKini.