BREAKING NEWS

Wednesday, 8 November 2017

Penghuni kondo bantah pembangunan lereng bukit Tanjung Bungah


Sekumpulan penghuni Kondominium Miami Green Resort, Tanjung Bungah, berkumpul di hadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini, mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang menghentikan projek pembangunan lereng bukit berhampiran kejiranan mereka.

Wakil penduduk, Leslie Leng, 41, berkata mereka khuatir runtuhan tanah atau kejadian tidak diingini seperti berlaku pada 21 Oktober lalu berulang.

Leng berkata, mereka difahamkan ada projek perumahan mampu milik berhampiran kondominium mereka dijangka mula dibina dalam tempoh dua bulan lagi.

"Mulanya, kami tidak membantah projek itu kerana sudah mendapat kelulusan kerajaan negeri. Bagaimanapun, susulan banyak kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang, kami mula berasa bimbang.

"Tambahan pula, keadaan cuaca tidak menentu sudah tentu merunsingkan kami terutama ketika hujan lebat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Leslie berkata, lebih membimbangkan apabila jarak di antara kondominium mereka dan bakal tapak perumahan mampu milik itu hanya kira-kira 70 meter sahaja.

"Bahaya yang menanti bukan sahaja ketika projek dijalankan, malah selepas projek berkenaan disiapkan dan sudah diduduki, nyawa kami ibarat telur di hujung tanduk.

"Tambahan, jarak antara kondominium dan tapak projek terbabit yang dekat boleh merosakkan dan menumbangkan struktur kediaman," katanya.

Kondominium Miami Green Resort terdiri daripada lima blok setinggi 28 tingkat yang mempunyai 550 unit rumah setiap satu blok.

 
Copyright © 2014 PenangKini.