BREAKING NEWS

Thursday, 30 November 2017

Pertumbuhan KDNK PKS Diunjur Naik Antara 6.5-7.5 Peratus Pada 2018



Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diunjurkan meningkat antara 6.5 peratus dan 7.5 peratus pada tahun hadapan berikutan peningkatan peruntukan bagi sektor berkenaan dalam Bajet 2018.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM22.2 bilion bagi pelaksanaan program pembangunan PKS, memperlihatkan peningkatan ketara dalam jumlah peruntukan berbanding tahun sebelum ini.

"Sokongan berterusan ini amat penting untuk membangunkan PKS melalui peruntukan kredit pembiayaan, skim jaminan modal, pinjaman mudah, skim geran dan juga memberikan pengecualian cukai untuk pasaran modal yang meliputi pelbagai aktiviti dan produk," kata beliau semasa berucap pada mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPPK) ke-23 di sini hari ini.

Bagi tahun ini, KDNK PKS dianggarkan akan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus berikutan prestasi yang baik dalam aktiviti perdagangan.

Selain itu, Najib turut mengumumkan bahawa setakat ini, sebanyak 1,997 PKS telah bersedia untuk mengeksport melalui platform Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Malaysia.

Terdahulu, 1,500 PKS dijangka terlibat di dalam fasa pertama DFTZ, platform yang akan menjadi rangsangan kepada PKS dari segi pertumbuhan eksport serta mencipta pekerjaan.

Melalui kewujudan DFTZ yang pertama di dunia, eksport PKS dijangka dapat ditingkatkan sebanyak US$38 bilion dan menjana 60,000 pekerjaan baharu menjelang 2025.



Sementara itu, mesyuarat MPPK ke-23 akan membincangkan tiga kertas utama - Banci Ekonomi 2016: Prestasi PKS, Inisiatif Pembangunan PKS di bawah Bajet 2018 dan Penyelarasan Program Pembangunan Modal Insan. -- BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.