BREAKING NEWS

Wednesday, 8 November 2017

Projek tebatan banjir Pulau Pinang dikaji rapi

Kesemua 12 projek tebatan banjir yang dirancang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Pulau Pinang, akan dikaji semula bagi memastikan semua peruntukan digunakan secara berkesan.

Kajian semula projek tebatan banjir Kerajaan Persekutuan itu akan membabitkan kerjasama kerajaan negeri, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan kawasan takungan air di negeri itu mencukupi, sebelum dilengkapi pembinaan saliran dan benteng laut.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kajian semula itu tidak akan membabitkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa Ketiga Lembangan Sungai Pinang yang sudah diluluskan kerajaan dengan peruntukan RM150 juta.

"Selepas bajet (diluluskan), baru kita akan mulakan kajian teknikal kerana pelaksanaan projek ini bukan boleh dibuat begitu saja. Saya sudah minta supaya (projek tebatan) Pulau Pinang dikaji semula untuk atasi masalah banjir.

"Kalau kita lihat apa yang berlaku pada 4 dan 5 November lalu, apa yang kita buat pada masa sekarang tidak akan mencukupi kerana air pasang tinggi dan hujan lebat (sehingga menyebabkan banjir).

"Jadi dalam keadaan demikian (air pasang tinggi dan hujan lebat), kita kena buat kajian terperinci dahulu walaupun sumber kewangan sudah ada, ia tidak boleh dilaksanakan begitu sahaja.

"Kalau tidak, duit kerajaan akan kehilangan (pembaziran)," katanya selepas lawatan kerja rasmi ke tapak pembinaan kompleks sukan dan kawasan parkir Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di Sentul di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, Datuk Seri Sallehuddin Ishak; Pengerusi ECOVEST/ LPS, Tan Sri Lim Keng Cheng dan Pengetua Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Chia Song Choy.

Wan Junaidi mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, bahawa Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbangkan peruntukan RM1 bilion bagi melaksanakan 13 projek berskala besar dan kecil bagi tebatan banjir di Pulau Pinang.

Ia termasuk RTB Fasa Ketiga Lembangan Sungai PInang yang sudah diluluskan kerajaan dengan peruntukan RM150 juta, membabitkan sembilan sungai antara Ayer Hitam ke Sungai Pinang di Jelutong.

Mengulas lawatannya ke sekolah persendirian itu, Wan Junaidi berkata, pihak akan menyediakan memorandum Kabinet bagi memohon kelulusan kerajaan melanjutkan tempoh sewaan kawasan seluas tiga ekar (tanah Kerajaan Persekutuan) untuk pembinaan kompleks sukan sekolah itu kawasan parkir.

Katanya, kerajaan meluluskan tempoh pajakan selama 30 tahun, bagaimanapun pihak sekolah meminta tempoh sewaan itu dipanjangkan antara 60 hingga 90 tahun demi kepentingan pelajar dan warga sekolah.

Ka Siong pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kerana memberikan kelulusan penggunaan kawasan terbabit bagi kompleks sukan sekolah persendirian itu.BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.