BREAKING NEWS

Friday, 17 November 2017

Pulau Pinang dipersila guna teknologi ramalan cuaca China


17 NOV: Kerajaan Pulau Pinang dialu-alu menggunakan sistem mengesan amaran cuaca buruk dari China jika tidak mempercayai keupayaan negara.
Perkara itu ditegaskan Menteri Inovasi Sains dan Teknologi, Datuk Madius Tungau yang menjelaskan bahawa teknologi digunakan Jabatan Meteorologi adalah terkini.
“Kalau mereka merasakan yang teknologi China lebih canggih daripada kita, silakan.
“Tapi sebagai makluman, yang kita gunakan adalah lebih maju kerana kita ambil dari Jepun yang mampu mengesan perubahan cuaca setiap 10 minit,” katanya dalam sesi pergulungan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Teknologi Sains dan Inovasi di Dewan Rakyat, Khamis.
Tambah beliau, amaran dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi pada 1 November lalu berkenaan ramalan ribut petir di Utara Semenanjung sekaligus menolak dakwaan bahawa kerajaan tidak prihatin.
Pada 4 dan 5 November, hujan lebat serta angin kencang menyebabkan Pulau Pinang dilanda bah terburuk dalam sejarah negeri itu.
Dalam perkembangan lain, Madius itu yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata kementeriannya dalam proses untuk mengenal pasti 129 produk yang boleh dikomersialkan di luar negara.
Menurutnya, ia selaras dengan sasaran Malaysia menjadi negara termaju berpendapatan tinggi dengan nilaian dagangan semasa dijangka berkembang RM2 trilion pada 2025 dan menikmati impak manfaat revolusi industri keempat (IR 4.0) secara ketara menjelang 2030.
Berikutan itu, Madius berkata program pengkomersialan produk yang berkaitan akan diteruskan pada 12 Disember depan. SUMBER
 
Copyright © 2014 PenangKini.