BREAKING NEWS

Wednesday, 8 November 2017

Putera Charles lawat gereja, masjid, tokong dan kuil di George Town


GEORGE TOWN: Putera Charles dan isteri, Camilla, memulakan lawatan sulung ke Pulau Pinang dengan melawat tempat ibadat di George Town, kawasan tapak Warisan Dunia Unesco.
Pasangan diraja itu dalam rangka lawatan sehari ke negeri ini, yang pada asalnya dikenali sebagai “Prince of Wales Island”, dengan persinggahan pertama di gereja St George, gereja England tertua di Asia Tenggara dibina pada 1818.

Sebaik tiba di gereja itu kira-kira 10.05 pagi, rombongan diraja itu disambut paderi Charles Samuel sebelum pasangan diraja itu meluangkan masa 20 minit melihat alat muzik organ baharu gereja di situ yang diisytiharkan sebagai warisan negara pada 2007.


Putera Charles dan Camilla juga dipersembahkan lukisan minyak sempena sambutan ulang tahun ke-200 gereja itu sebelum pasangan diraja itu meneruskan program mereka dengan berkunjung ke Masjid Kapitan Keling, kira-kira 1km dari situ.

Masjid yang dibina oleh masyarakat pedagang India Muslim pertama Pulau Pinang pada 1801 dan terletak di persimpangan Lebuh Buckingham dan Lebuh Pitt, merupakan satu daripada masjid terbesar di bahagian pulau dibina mengikut ciri binaan Indo-Moor.

Sebelum itu, ratusan orang pelbagai lapisan masyarakat memegang bendera Malaysia dan United Kingdom, berkumpul di sepanjang jalan di bawah kawalan ketat untuk mendapatkan sekilas pandang pasangan diraja itu dan ada yang bernasib baik dapat bersalaman.

Di masjid itu, pasangan diraja itu disambut kumpulan kompang, alat muzik tradisional Melayu, sebelum mereka disambut pengerusi masjid, Datuk Meera Mydin Mastan yang kemudian mengiringi pasagan diraja itu menyertai acara penanaman pokok bagi memperingati kunjungan mereka di sini.
Selepas meluangkan masa kira-kira 15 minit di masjid itu, Putera Charles dan Camilla kemudian menandatangani buku tetamu sebelum berjalan kaki ke Tokong Pusaka Han Jiang, kira-kira 100m dari situ.

Tokong itu yang sebelum ini dikenali sebagai Teochew Kongsi terletak di Lebuh Chulia dibina pada 1890 oleh pendatang Teochew dari wilayah Ghaozhou, di bahagian timur laut Guangdong di China.
Kedua-dua pasangan diraja itu meluangkan masa kira-kira 15 minit menyaksikan persembahan tarian singa, tarian kebudayaan tradisional masyarakat Cina di kuil itu sebelum melawat Kuil Sri Mahamariamman di Lebuh Queen.

Pasangan diraja itu dengan diiringi menteri pengiring, Datuk Seri S. K. Devamany, yang juga timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, melawat kuil itu.
Kuil itu kuil tertua di George Town yang dibina pada 1833 dan diubah suai pada 1933.
Pasangan diraja itu kemudian berkunjung ke Seven Terraces, barisan rumah teres Inggeris-Cina terletak di bahagian belakang tokong Goddess of Mercy di Jalan Masjid Kapitan Keling.

Lawatan Putera Charles dan Camilla ke Malaysia sebahagian daripada lawatan 11 hari pasangan diraja itu ke Singapura, Malaysia dan India dari 30 Oktober sehingga 9 November.
 
Copyright © 2014 PenangKini.