BREAKING NEWS

Tuesday, 21 November 2017

UMNO Pulau Pinang ketengah isu kelemahan kerajaan negeri


GEORGETOWN: UMNO Pulau Pinang akan menggunakan platform Perhimpunan Agung UMNO bulan depan untuk membawa pelbagai isu berbangkit menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terutama membabitkan isu kelemahan pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata UMNO Pulau Pinang akan diwakili Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said bagi membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO; Ketua Pemuda UMNO negeri, Rafizal Abd Rahim (usul ekonomi) dan Ketua Pemuda UMNO Tasek Gelugor, Nashrol Hisham Abdullah (usul Agama).
Beliau berkata, pihaknya juga berharap perhimpunan berkenaan akan membakar semangat ahli dan pemimpin UMNO negeri dalam persiapan terakhir menjelang PRU-14.
"Justeru, kita berharap perwakilan daripada negeri ini dapat berbahas dengan baik untuk mengetengahkan isu permasalahan rakyat di Pulau Pinang untuk dikongsikan dengan perwakilan negeri lain, bagi dijadikan iktibar terhadap isu yang berlaku.
"Malah, kita juga mahu mengingatkan semua pihak bahawa perubahan kerajaan baik di peringkat negeri dan Pusat tidak semestinya akan membawa kebaikan kepada rakyat malah boleh menyebabkan kemudaratan.
"Ia terbukti apabila sepanjang 10 tahun kerajaan DAP Pulau Pinang memerintah banyak isu berlaku di negeri ini termasuk runtuhan tanah dan banjir kilat disebabkan pembangunan yang tidak terkawal sehingga menyusahkan rakyat," katanya selepas merasmikan Minggu Industri 4.0 di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai persiapan UMNO negeri menghadapi PRU-14, Zainal Abidin berkata, beliau percaya perhimpunan agung kali ini akan merapatkan lagi saf dan barisan parti untuk menghadapi PRU.
Dalam perkembangan lain, Zainal Abidin yang juga Penasihat Khas Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) kepada Perdana Menteri berkata, pihaknya berusaha untuk memupuk budaya dan meningkatkan aktiviti penyelidikan bagi memastikan pembabitan masyarakat dalam menyokong perkembangan pesat inovasi dan teknologi semasa.
"Untuk mencapai tujuan ini, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan memanfaatkan tujuh nod pertumbuhannya di seluruh rantau ini bersama rakan kongsi termasuk PSDC untuk merapatkan jurang dalam keperluan modal insan bagi pelaksanaan Industri 4.0.
"Kita juga berharap kawasan pertumbuhan NCER akan menjadi tempat ujian yang baik untuk pelaksanaan Industri 4.0," katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.