BREAKING NEWS

Thursday, 9 November 2017

Zahid kagum Najib kental hadapi serangan fitnah

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kagum dengan kekentalan perdana menteri menghadapi serangan fitnah dan berita palsu terhadapnya.

Timbalan perdana menteri berkata, kecanggihan teknologi maklumat hari ini disalah guna sesetengah pihak untuk mencipta berita palsu dan penipuan ke atas pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
“Saya menghormati perdana menteri kerana mempunyai kekentalan dalam berhadapan berita palsu dan khabar angin terhadap dirinya dan pentadbirannya,” katanya ketika berucap dalam majlis Hari Inovasi Huawei Asia Pasifik 2017 hari ini.

Menteri dalam negeri itu yakin telefon yang dicipta Alexander Graham Bell pada 1876 bukan bertujuan menyebarkan kebencian, fitnah dan berita palsu.
“Ketika kita membicarakan topik inovasi dan kehidupan lebih baik, kita perlu mengingatkan diri kita inovasi tidak seharusnya disalah guna.

“Saya tahu kita boleh hidup dengan lebih baik tanpa diselubungi kebencian dan berita palsu, serta penipuan yang sering kali diulang-ulang.”


Katanya, medium komunikasi seperti aplikasi WhatsApp, Facebook dan Telegram turut disalah guna untuk menyebarkan berita palsu, penipuan serta kebencian yang menimbulkan rasa curiga antara masyarakat berbilang kaum.

Ahad lalu, Najib ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MCA mengakui marah dengan dakwaan pembangkang kononnya beliau menjual kedaulatan negara kepada China melalui projek mega.

Beliau turut menyifatkan tuduhan tidak masuk akal yang dilemparkan pembangkang itu direka orang bodoh.

“Nak kaji semula kononnya kalau mereka menang, segala-gala usaha sama dengan China…dia ugut nak ubah segalanya kononnya kita dah jual kedaulatan, kedaulatan apanya, kepala bapak kau!
“Maaflah saya guna bahasa kasar sikit sebab tak logik, mana yang hilang kedaulatannya? Bodoh!
“Kamu (pembangkang) ingat kita bodoh. Kita tak bodoh, kamu pergi ke Pusat Perindustrian Kuantan kata orang Malaysia tidak boleh masuk, bodoh punya kerja!” kata presiden Umno itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.