BREAKING NEWS

Monday, 20 November 2017

Zahid puji Strategi Lautan Biru Kebangsaan program terbaik di dunia


BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) adalah yang terbaik seumpamanya di dunia.
Beliau berkata, menerusi NBOS, pelbagai program dan inisiatif boleh diadakan dengan menekankan 3 elemen, iaitu impak tinggi, kos penganjuran rendah serta pelaksanaan segera.
“Tidak ada satu program sebaik NBOS di mana-mana di dunia ini. Kita sangat berterima kasih dan teruja dengan pelbagai inisiatif baharu yang dilaksanakan menerusi NBOS,” katanya.
Advertisement

Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika merasmikan Fiesta NBOS Sayang Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini.

Program yang memasuki fasa ke-2 itu dianjurkan Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Zahid berkata, NBOS boleh memainkan peranan membangunkan kawasan atau daerah baharu seperti Bagan Datuk yang diisytihar sebagai daerah ke-12 di Perak, Januari lalu.
“Tiga elemen yang diterapkan dalam NBOS penting kerana kita ingin menjadi negara maju harus melaksanakan dengan kemas semua dasar program yang dirancang termasuk dengan segera dan kos rendah,” katanya.

Sehubungan itu, Zahid mengajak orang ramai jangan hanya meletakkan diri di dalam kotak, sebaliknya perlu melihat di luar kotak atau tanpa kotak dengan objektif positif.
“Ada sesetengah yang memandang setiap transformasi dengan sinis, mereka ada persepsi negatif dan meremehkan setiap pembaharuan yang ada.

“Rakyat harus lihat setiap perubahan (yang dilakukan) Datuk Seri Najib Razak untuk kepentingan rakyat. Saya yakin rakyat yang majoriti senyap akan terus bersama kerajaan dan membuktikan mereka menghargai segala transformasi oleh perdana menteri,” katanya.
Zahid juga memberi jaminan akan terus membawa kemajuan kepada Bagan Datuk dan menjadikan ia satu daripada daerah maju di Perak atau Malaysia.
 
Copyright © 2014 PenangKini.