BREAKING NEWS

Monday, 18 December 2017

200 murid terima sumbangan daripada TNB


BALIK PULAU -  Kira-kira 200 kanak-kanak  dari kawasan Parlimen Balik Pulau hari ini ceria apabila menerima sumbangan kelengkapan  pakaian sekolah menjelang sesi persekolahan 2018 yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi.                   

Sumbangan berupa satu set kelengkapan pakaian sekolah itu daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada golongan yang memerlukan bagi menyuntik semangat anak-anak untuk mendalami ilmu.             

Pengurus Besar TNB Pulau Pinang  Datuk  Lim Yew Soon berkata program itu merupakan satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)  bagi memberikan sumbangan  dalam bidang pendidikan kepada keluarga yang kurang berkemampuan terutama mereka yang memiliki ramai anak .           

"Sumbangan ini mampu meringankan perbelanjaan yang perlu  ditanggung ibu bapa. Semoga semua anak anak ini dapat bersekolah dengan selesa dan bersemangat," katanya pada  Program Kembali Ke Sekolah  di Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh di sini hari ini.   

Sementara itu seorang suri rumah Zuridah Baharom,39, melahirkan rasa syukur dengan sumbangan yang diberikan oleh TNB kepada anak-anaknya.                                               

"Syukur Alhamdulillah, bantuan ini dapat meringankan beban kami yang mempunyai empat anak yang masih bersekolah," katanya.

Nada sama turut dilontarkan oleh anaknya Mohamad Alif Taufik Johari,12, yang begitu gembira dengan pemberian itu dan harap ia dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan.

Selain itu pekerja kilang Faridah Kadir,46, turut berterima kasih kepada TNB kerana memberikan sumbangan kepada anak-anaknya.

"Terima kasih banyak TNB bagi bantuan seumpama ini, sepertimana kita tahu menjelang sesi buka sekolah banyak wang akan digunakan untuk keperluan anak-anak sekolah, maka dengan pemberian oleh TNB ini ia sangat membantu mengurangkan beban kami,"kata isteri seorang nelayan itu. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.