BREAKING NEWS

Tuesday, 19 December 2017

ADUN DAP tanya mengapa parti tak sabar nak singkirkannya


ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu akhirnya bersuara dan mempersoalkan mengapa parti itu nampaknya seperti tidak sabar untuk menyingkirkan beliau dengan menyekatnya daripada terbabit dalam bantuan banjir di kawasan pilihan rayanya
Teh berkata beliau tidak menyertai parti politik lain dan masih merupakan ahli dan ADUN DAP.
"Mengapa mereka (pemimpin DAP) tidak boleh bersabar? Mereka menunjukkan ketidaksabaran mereka untuk menyingkirkan saya. Ia benar-benar menunjukkan jenis pemikiran yang mereka ada," kata Teh kepada Malaysiakini ketika ditemui di pusat khidmatnya di Tanjung Bungah.
Teh menyatakan kekecewaannya bahawa seorang pemimpin kanan DAP mengkritiknya dalam buletin negeri - Buletin Mutiara.
"Sekarang anda mengkritik saya dan mengatakan perkara-perkara buruk mengenai saya. Adakah anda hanya bermain politik?" tanya beliau.
"Anda kata saya mungkin satu risiko. Apakah jenis risiko yang saya berikan? Maksud anda saya boleh mensabotajkan semuanya, Bagaimana saya boleh lakukannya?
"Jika saya mahu sabotaj (DAP), saya tidak perlu mengumumkan terlebih dahulu bahawa saya mahu meninggalkan parti."
Pada 14 Disember, Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera Zairil Khir Johari mendedahkan bahawa Teh telah disekat daripada meluluskan pendaftaran mangsa banjir yang akan melayakkan mereka menerima bantuan kewangan sebanyak RM700.
Bantuan itu adalah sebahagian daripada Program Bangkit Pulau Pinang yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng berikutan bencana banjir yang melanda bulan lalu.
Mengenai mengapa wakil yang dipilih selama dua penggal itu disekat, Zairil berkata ini disebabkan oleh Teh mengeluarkan beberapa kenyataan negatif kepada media.
Menurutnya, Teh telah mengumumkan dia  meninggalkan DAP dan itu juga, tambahnya, bermakna Teh juga meninggalkan kerajaan negeri Pakatan Harapan.
"Jadi, apabila ada ketidakpastian, adakah anda akan ambil risiko?" Zairil dipetik sebagai berkata dalam Buletin Mutiara.
Beliau berkata e-mel mengenai keputusan kerajaan Pulau Pinang itu telah dihantar kepada Teh oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus pada 20 November.
Zairil kini mengendalikan tugas meluluskan bantuan banjir kepada mangsa di Tanjung Bungah.
Menurut Teh, parti itu hanya mencari publisiti dengan menyerahkan baucar kepada mangsa banjir 4 dan 5 November lalu, yang telah menjejaskan ribuan orang dan tujuh orang terkorban.
"Kenapa tidak masukkan wang itu ke dalam akaun bank mereka, mengapa perlu memberi baucar, mengambil gambar dan mendapatkan publisiti? Bukankah ini bermain politik dengan bencana banjir?" soalnya.
Teh adalah wakil rakyat kedua yang disekat daripada mengendalikan pendaftaran banjir selepas ADUN PKR Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.
Tugas itu kini dikendalikan oleh wakil rakyat Pulau Tikus, Yap Soo Huey.
Cheah dan Teh sering menimbulkan kemarahan rakan-rakan parti mereka dengan mempersoalkan dasar alam sekitar di negeri itu, terutama pembangunan di lereng bukit, projek penambakan laut dan baru-baru ini, pengkorporatan Botanical Gardens Pulau Pinang.
'Fikiran yang sempit'
Sementara itu, Teh menafikan bahawa dia merancang untuk bertanding menentang kerajaan HARAPAN dalam pilihan raya umum ke-14.
Spekulasi tersebar bahawa Teh mungkin melompat parti dan menyertai Penang Front Party, yang kini menjadi pengkritik utama pentadbiran DAP dan Lim.
Juga ada khabar angin bahawa Teh mungkin bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya akan datang.
"Ini tidak benar. Sama ada ia pertandingan banyak penjuru, semuanya terpulang kepada keputusan pengundi. Bagaimana anda boleh mengatakan bahawa saya mahu menentang kerajaan HARAPAN?
"Semasa pilihan raya, Pulau Pinang tidak lagi di bawah mana-mana parti, mandat kerajaan negeri berakhir," jelas Teh. "Untuk berfikir bahawa saya akan bertanding menentang HARAPAN adalah berfikiran sempit."
Bagaimanapun, Teh mengesahkan beliau akan meninggalkan DAP - satu keputusan yang diumumkannya selepas kejadian tanah runtuh besar di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 orang pada 21 Oktober.
Teh berkata beliau akan memutuskan platform mana yang akan digunakan untuk meneruskan perjuangan politiknya apabila parlimen dan dewan negeri dibubarkan.
"Bersikap adil lah kepada saya, berikan saya sedikit ruang untuk bergerak, (dan) meneruskan kerja saya," katanya.
Mengenai platform yang dia cari, Teh menjawab, "Saya tidak mempunyai banyak pilihan, tetapi ini bukan untuk saya putuskan sekarang."
"Beberapa pihak mungkin mengatakan saya telah didatangi oleh beberapa parti lawan dan bahawa saya telah mengkhianati DAP, tetapi hujah-hujah ini hanya digunakan untuk menghentam saya," katanya.

"Saya mungkin bersara atau menyertai NGO, buat masa ini, saya tidak tahu.

Mkini
 
Copyright © 2014 PenangKini.