BREAKING NEWS

Sunday, 10 December 2017

Ahli UMNO Sudah Ada Mentaliti Menang, Siap Sedia Turun Ke Medan Perang. 



Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 berakhir hari ini. Sudah pasti dalam masa lima hari ia berlangsung, perwakilan yang menghadiri PAU ini mendapat banyak maklumat yang berguna, apatah lagi ia merupakan PAU terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Yang jauh datang bergerombolan, yang dekat datang menjalin persahabatan. Semua ahli UMNO berkumpul mengerat silaturahim dan tekad demi parti karomah.

Dengan jangka masa PRU yang sudah tidak lama lagi, maka ucapan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan PAU 2017 sudah menyemarakkan semangat di kalangan ahli UMNO untuk berperang apatah lagi selepas gendang pilihan raya sudah dipalu.

"UMNO adalah sebenar dan sesungguhnya parti 'berkaromah' untuk seluruh rakyat Malaysia. Kalau digantung kita tinggi, biar dicincang kita lumat, namun menyerah tidak sekali-kali.

"Perang kali ini kita gempur habis-habisan. Pilihan raya ini pasti mendapat menang, dan Putrajaya tetap kita pertahankan," kata Najib ketika merasmikan PAU 2017.

Mendengar suara semangat Najib ketika berucap itu sendiri membuatkan bulu roma meremang. Ia merupakan intipati utama oleh Presiden parti untuk meniup semangat kepada perwakilan.

Ada pemerhati di luar dewan yang terus berdiri berteriak bersama sama setelah mendengar semboyan seruan Presiden UMNO. Ada yang bingkas bangun sambil genggam tangan melaungkan "Hidup UMNO" sekuat hatinya tatkala mendengar Ucapan Presiden UMNO.

Presiden parti sudah memukul gendang dan nampaknya ahli UMNO telah menyahut seruan itu. Mereka kini memfokus kepada pilihan raya yang semakin hampir dan melupakan seketika pemilihan parti yang akan diadakan selepas PRU.

Malah sehingga tengah malam, perwakilan masih berada di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk berbincang mengenai strategi menentang lawan pada PRU nanti. Mereka mahu menang, iaitu satu mentaliti yang sudah disemat dalam minda mereka oleh Presiden parti sendiri.

Mereka bertemu bukan untuk mencalonkan diri sebagai calon PRU atau berbicara soal pemilihan parti sebaliknya mereka berbincang tentang lima semboyan yang dibuat oleh Najib semasa merasmikan PAU 2017.

Lima semboyan itu ialah bergerak sebagai satu pasukan, bergerak dengan penuh keyakinan, bertindak dengan pantas, bertarung di alam siber dan bertarung dengan semangat juang dan tekad yang tinggi.

"Perang kali ini kita gempur habis-habisan. Pilihan raya ini pasti mendapat menang dan Putrajaya tetap kita pertahankan,'' demikian ingatan Najib yang juga Perdana Menteri kepada ahli-ahli UMNO.

Ini kerana pilihan raya ini bukan sekadar pilihan raya umum kerana ia penting, UMNO tidak mahu negara tergadai dan jatuh kepada pihak yang salah serta tidak bertanggungjawab.

Jika kuasa yang ada tidak dikekalkan, maka apa yang dibina oleh bapa-bapa terdahulu akan ranap begitu sahaja, berkecai di depan mata.

Cabaran terbesar yang perlu ditangani oleh UMNO ialah ketaksuban Pakatan Harapan yang mahu berkuasa. Lebih malang lagi ia diketuai oleh bekas Presiden UMNO sendiri, Mahathir Mohamad yang kini melakukan tohmahan dan tuduhan liar kepada UMNO.

Pembangkang ini bijak mencipta cerita palsu untuk membangkitkan kemarahan rakyat. Justeru gunakanlah kebijaksaan untuk menolak pembangkang ini. Jangan biarkan mereka memerintah, jangan biarkan Melayu tergadai di negara sendiri.

Semua perwakilan UMNO sudah bermentaliti menang. Putrajaya akan dipertahankan demi agama, bangsa dan negara.

Wajib menang. Jika tidak, DAP akan menjadi raja dan merampas apa sahaja yang ada di tanahair ini. Berjuanglah sekarang dengan penuh sungguh sungguh, jangan menangis airmata darah di kemudian hari.


Tulisan :
Beruang Biru
BB691, Sabtu
9 Disember 2017
 
Copyright © 2014 PenangKini.