BREAKING NEWS

Thursday, 14 December 2017

Dr M salah kaitkan skandal kepada dagangan forex, kata BN

PETALING JAYA: Tidak adil sekiranya Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kerugian RM31.5 bilion dalam skandal forex Bank Negara dengan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerugian RM160 bilion dalam rizab mata wang asing antara 2013 dan 2016.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To berkata ada perbezaan besar antara judi haram dan fungsi biasa BNM dalam menguruskan ketakstabilan mata wang.
Beliau berkata cubaan Dr Mahathir mengaitkan 2 perkara itu “benar-benar menghairankan”.
Dr Mahathir mendakwa BNM kerugian AS$39.6 bilion dalam rizab antara 2013 dan 2015.
Dalam video itu, Dr Mahathir berkata jumlah itu lebih besar berbanding kerugian dagangan mata wang asing semasa pentadbirannya.

Bagaimanapun, tiada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kerugian 2013-2015 itu, yang berlaku bawah pentadbiran Najib.
RCI ke atas kerugian urus niaga mata wang yang dialami BNM pada 1990-an percaya Dr Mahathir merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu yang mengakibatkan bank pusat mengalami kerugian RM31.5 bilion.

Suruhanjaya itu juga berpandangan menteri kewangan ketika itu sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan mengelirukan kepada jemaah menteri berhubung perkara itu.
“Cubaan Tun Mahathir mempertahankan skandal forex BNM RM31.5 bilion dengan mendakwa PM Najib kerugian RM160 bilion dalam rizab forex antara 2013 dan 2016 adalah tidak bertanggungjawab dan terdesak,” kata See-To dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ramai orang tidak faham bagaimana bank pusat seperti BNM mengumpul rizab mata wang asing.

“Apabila ringgit dibeli dan bergerak terlalu cepat, BNM cuba menyederhanakan pergerakan itu dengan menggunakan ringgit untuk membeli dolar AS.
“Tindakan itu meningkatkan bekalan ringgit dan menyederhanakan kenaikan kadar ringgit berbanding dolar AS. Apabila BNM berbuat demikian, mereka mengumpul dolar AS dan rizab mata wang dolar AS kita membesar.

“Sewajarnya, apabila ringgit dijual, pelabur mahu memindahkan wang keluar dari Malaysia seperti apa yang berlaku pada penghujung 2013 apabila Amerik Syarikat memberi isyarat mereka akan mula menaikkan kadar faedah mereka.

“BNM kemudian akan menjual rizab dolar AS yang terkumpul bagi menghalang ringgit daripada jatuh mendadak.

“Pembelian atau penjualan serta merta seperti itu ialah BNM menjalankan tugas mereka dan itulah pertama sekali tujuan memiliki rizab mata wang asing.”
See-To berkata apabila BNM menjual dolar AS bagi tujuan itu, tiada kerugian wang kerana BNM dibayar ringgit untuk jualan dolar AS.

“Rizab mata wang asing kita susut dalam tempoh itu tetapi kita peroleh ringgit.
“Sebab itu BNM melaporkan keuntungan memberangsangkan pada 2014 (RM6.4 bilion), 2015 (RM7.8 bilion) dan 2016 (RM6.5 bilion).”

See-To berkata dalam kes skandal mata wang asing BNM di era Dr Mahathir, bank pusat melampaui tugas mereka.
“Mereka berjudi di niaga hadapan forex menggunakan rizab kita dan bukannya membeli atau menjual serta merta.

“Mereka menggunakan leveraj untuk bertaruh sama ada mata wang tertentu akan naik atau turun.
“Leveraj itu sangat besar dan mendedahkan Malaysia kepada 5 kali rizab kita atau 3 kali KDNK kita – bermakna perjudian haram mereka itu boleh 3 kali memufliskan Malaysia.
“Apabila kamu berjudi seperti itu dan kalah, kamu mengalami kerugian rizab dan tidak dapat sebarang ringgit.”

See-To berkata kerugian yang dialami sangat besar sehinggakan BNM secara teknikal tak mampu bayar pada 1994 dan terpaksa menjual saham di Malaysia Airlines, Telekom dan Tenaga untuk menampung sebahagian kerugian.
See-To berkata laporan RCI menyatakan kerugian itu turut disembunyikan menggunakan “olahan perakauan tidak konvensional”.

Baki kerugian diserap oleh pemindahan saham daripada kerajaan kepada BNM serta penciptaan “deferred expenditure”, untuk dibayar secara ansuran untuk selama sedekad.
“Memburukkan lagi keadaan, RCI berkata membenarkan perjudian seperti itu pertama sekali menyalahi undang-undang dan selepas mengalami kerugian, ada cubaan untuk menyembunyikan dan mengelirukan Kabinet dan Parlimen.

“Sama ada terdapat orang yang mendapat manfaat daripada kerugian itu masih lagi dalam siasatan. Kita serahkan kepada polis.”

See-To berkata Dr Mahathir mungkin tidak sedar dalam tempoh yang sama antara 2013 dan 2016, rizab mata wang asing China juga berkurangan sebanyak AS$800 bilion juga atas sebab yang sama rizab mata wang asing Malaysia berkurangan.

FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.